Seorang wanita yang berbohong tentang alamat rumahnya untuk mendaftarkan anak perempuannya di sekolah rendah menerusi skim keutamaan kemasukan telah dijatuhkan hukuman penjara seminggu pada 13 November.
Wanita berusia 42 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam dan satu lagi pertuduhan memberikan maklumat palsu ketika melaporkan pertukaran alamatnya pada 24 September.
Menurut laporan The Straits Times (ST), dia tidak boleh dinamakan kerana perintah larangan untuk melindungi identiti anak perempuannya.
Perintah larangan itu meliputi nama sekolah dan kakitangan yang terlibat.
Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Sharmila Sripathy-Shanaz berkata hukuman penjara adalah wajar, memandangkan tindakan wanita itu yang terancang dan motifnya yang mementingkan diri sendiri.
Pihak pendakwaan telah memohon wanita itu didenda sebanyak $13,000.
Semasa proses pendaftaran Darjah 1 pada 2023, wanita itu mendaftarkan anak perempuannya ke sekolah melalui keutamaan kemasukan berdasarkan jarak rumah mereka ke sekolah.
Untuk berbuat demikian, dia memberikan alamat sebuah unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang disewakannya kepada enam penyewa.
Pada Jun 2024, wanita itu menghantar e-mel kepada sekolah untuk meminta perubahan pada rekodnya, dan memberikan alamat pasangannya, yang berada di luar dua kilometer daripada sekolah.
Dia menarik balik permintaan itu apabila sekolah memberitahunya bahawa ia akan melanggar syarat penghunian 30 bulan untuk pelajar yang mendaftar melalui keutamaan kemasukan.
Apabila naib pengetua sekolah bertemu dengan wanita itu untuk mengesahkan alamatnya pada Ogos 2024, dia memberitahu penyewanya supaya menutup tingkap rumah dari 7 pagi hingga 11 malam.
Dia juga mengarahkan mereka supaya berbohong dengan menyatakan bahawa dia dan anak perempuannya tinggal di unit itu.
Selepas beberapa percubaan yang sia-sia untuk mengesahkan alamatnya, sekolah memaklumkan kepada wanita itu bahawa mereka akan memindahkan anak perempuannya keluar daripada sekolah berkenaan pada Oktober 2024.
Sekolah itu membuat laporan polis pada bulan berikutnya.
Akibat sengaja memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Akibat memberikan maklumat palsu semasa melaporkan pertukaran alamat, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga $3,000, atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg