Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Diserang pisau: Remaja bohong tentang identiti selepas gagal lapor diri bagi NS

Feb 12, 2025 | 4:01 PM
Pada 12 Februari, Aminin Amin Sham Simon, 20 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menipu melalui penyamaran dan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.
Pada 12 Februari, Aminin Amin Sham Simon, 20 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menipu melalui penyamaran dan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam. - Foto PIXABAY

Seorang remaja berbohong mengenai identitinya kepada polis selepas diserang dengan pisau, kerana bimbang pihak berkuasa akan mendapat tahu dia gagal melaporkan diri untuk Perkhidmatan Negara (NS).

Aminin Amin Sham Simon, yang berusia 19 tahun ketika kejadian pada 2023, turut berbohong mengenai identitinya dengan kakitangan di Hospital Universiti Nasional (NUH) di mana dia mendapat rawatan untuk pelbagai kecederaan yang dialaminya menyusuli serangan itu.

Setelah kebenaran terbongkar, NUH terpaksa membayar pasukan teknologi maklumat (IT) mereka sebanyak $10,000 untuk membetulkan identiti Aminin yang disimpan di dalam sistem mereka.

Pada 12 Februari, Aminin, yang kini berusia 20 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menipu melalui penyamaran dan beri maklumat palsu kepada penjawat awam.

Tanpa mendedah butiran lanjut, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Ng Jun Kai, memberitahu mahkamah remaja itu sepatutnya melaporkan diri ke Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk pendaftaran NS, namun dia gagal berbuat demikian.

Pada sekitar tengah malam 6 Disember 2023, Aminin bertemu dengan sekumpulan individu untuk “perbincangan penyelesaian” berkenaan suatu perkara yang tidak dinyatakan.

Butiran mengenai lokasi pertemuan bagi perbincangan itu juga tidak disebut dalam dokumen mahkamah.

Tiga anggota kumpulan itu kemudian bertindak menyerang Aminin, dan dua daripada mereka menyerangnya dengan pisau.

Menurut pendakwa raya, seorang daripada mereka telah menendang Aminin, manakala seorang lagi mengelar lengan kiri Aminin, dan penyerang ketiga pula menikamnya tiga kali di bahagian belakang dan punggung menggunakan pisau roti.

Selepas seorang saksi memaklumkan polis mengenai kejadian itu, seorang pegawai tiba di tempat kejadian dan meminta Kad Pengenalan Pendaftaran Nasional (NRIC) Aminin pada sekitar 1 pagi.

Aminin berkata dia tidak membawanya, namun boleh memberi butiran tersebut secara lisan. Dia kemudian memberi nama dan nombor NRIC kepunyaan lelaki lain kepada pegawai tersebut.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana Aminin mengetahui maklumat peribadi lelaki itu, lapor The Straits Times (ST).

Selepas Aminin dibawa ke NUH untuk menerima rawatan, dia mengulang kembali maklumat palsu itu kepada kakitangan di sana.

Penipuannya terbongkar apabila seorang pegawai penyiasat (IO) membuat pemeriksaan ke atas lelaki yang nama dan nombor NRIC digunakan oleh Aminin.

Aminin didakwa atas kesalahan tersebut di mahkamah pada 2024.

Pada 12 Februari, mahkamah mengarahkan agar satu laporan disediakan bagi menilai kelayakan Aminin untuk menjalani probesen. 

Hukuman akan dijatuhkan pada April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg