NEW YORK: Seorang wanita bersenjatakan dua pisau menikam dua individu, menyebabkan seorang daripada mereka maut, di Times Square yang sesak dengan pelancong pada 31 Ogos, sebelum suspek ditembak mati oleh polis.

Datuk Bandar New York, Encik Zohran Mamdani, mengesahkan kematian itu dalam satu sidang media, sambil berkata seorang lagi mangsa berada dalam keadaan stabil di hospital.

Suspek dikenal pasti sebagai Pamela Cisneros, 49 tahun, penduduk Queens.

Pesuruhjaya Polis New York, Cik Jessica Tisch, berkata Cisneros mengeluarkan dua pisau besar daripada sebuah beg sebelum mengancam orang ramai di tengah-tengah Times Square pada waktu siang.

Menurut polis, Cisneros mula-mula menghampiri seorang lelaki berusia 68 tahun dan menikamnya di bahagian perut.

Kira-kira 20 saat kemudian, dia menyerang seorang wanita berusia 32 tahun dan turut menikam mangsa di bahagian perut.

Wanita itu kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya.

Identiti kedua-dua mangsa belum didedahkan sementara pihak berkuasa memaklumkan keluarga mereka.

Serangan berlaku sebelum 4.30 petang di sekitar Seventh Avenue dan West 41st Street, kawasan yang menjadi antara lokasi paling sibuk dan terkenal di Manhattan.

Seorang penjaja, Encik Aliou Diaye, 62 tahun, berkata beliau melihat seorang wanita berbaju merah jambu menikam seorang wanita berhampiran gerainya.

“Dia tidak berkata apa-apa,” katanya.

“Dia berjalan menghampirinya. Kemudian dia menikamnya di perut,” tambah beliau.

Menurut Encik Diaye, mangsa rebah di kaki lima sebelum beliau dan seorang rakannya menghubungi talian kecemasan 911.

Suspek kemudian berjalan ke arah utara sebelum berdepan anggota polis berhampiran sebuah pondok polis di West 43rd Street.

Rakaman video yang tersebar dalam talian menunjukkan Cisneros memegang pisau pada kedua-dua tangannya ketika beberapa anggota polis mengepungnya.

Polis cuba memujuk wanita itu supaya meletakkan senjata.

“Pegawai bercakap dengan wanita itu selama empat minit dan berkali-kali mengarahkannya supaya meletakkan pisau, tetapi dia enggan,” kata Cik Tisch.

Menurut beliau, Cisneros kemudian mengancam anggota polis dengan berkata: “Saya tidak akan meletakkan apa-apa. Saya lebih rela membunuh kamu berdua.”

Polis kemudian menggunakan pistol renjatan elektrik dalam usaha melumpuhkannya, namun tindakan itu tidak berjaya.

Rakaman kejadian menunjukkan Cisneros kemudian bergerak pantas ke arah anggota polis sebelum beberapa das tembakan dilepaskan.

Dia rebah di kaki lima dan anggota polis dilihat memberikan bantuan kecemasan sebelum paramedik membawanya ke hospital.

Media tempatan melaporkan Cisneros kemudian disahkan meninggal dunia.

Seorang saksi memberitahu saluran televisyen tempatan PIX11 bahawa wanita itu memegang dua pisau dan telah dikenakan renjatan elektrik sebelum dia menerpa ke arah anggota polis.

“Mereka menembaknya dua kali,” kata saksi berkenaan.

Polis mengesahkan penggunaan pistol renjatan tidak berjaya sebelum anggotanya melepaskan tembakan menggunakan pistol.

Pihak berkuasa berkata Cisneros diketahui mempunyai masalah kesihatan mental, namun belum memberikan butiran lanjut mengenai latar belakangnya atau motif serangan.

Cik Tisch berkata siasatan awal tidak menunjukkan kejadian itu mempunyai kaitan dengan pengganasan.

“Ini adalah keadaan yang amat berbahaya yang berlaku di tengah-tengah Times Square, persimpangan dunia,” katanya.

“Pada bila-bila masa, terdapat ribuan penduduk New York, penumpang, pelancong, keluarga dan pekerja yang bergerak melalui jalan-jalan ini.”

Kejadian itu mencetuskan operasi kecemasan besar-besaran di kawasan berkenaan, dengan polis dan paramedik dikerahkan ke lokasi sementara sebahagian kawasan dikawal bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh anggota polis berdepan dengan suspek sebelum tembakan dilepaskan, sementara orang ramai dan kenderaan masih bergerak berhampiran mereka.

Insiden itu mendapat perhatian kerana berlaku pada waktu petang di Times Square, antara destinasi pelancongan paling terkenal di dunia yang lazimnya dipenuhi orang ramai.

Polis kini menyiasat rentetan kejadian yang membawa kepada serangan itu, termasuk pergerakan Cisneros sebelum dia menikam kedua-dua mangsa dan tindakannya ketika berdepan anggota polis.

Pihak berkuasa turut meneliti rakaman video dan keterangan saksi bagi menentukan keseluruhan kronologi kejadian. – Agensi berita.