RIYADH: Seorang anggota jemaah warga Indonesia baru-baru ini, meninggal dunia di kawasan gurun Al-Jumum, Arab Saudi, akibat dehidrasi.
Portal Tempo melaporkan, anggota jemaah itu dalam perjalanan melalui laluan padang pasir yang tidak dibenarkan dalam usaha untuk menunaikan haji di Makkah.
Konsul Jeneral Indonesia di Jeddah, Encik Yusron Ambary melaporkan bahawa seorang individu dikenali sebagai SM terkandas di padang pasir bersama dua lagi warga Indonesia, yang dikenali sebagai J dan S.
“Ketiga-tiganya nekad memasuki Makkah tanpa prosedur rasmi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Encik Yusron, SM dan dua individu lain memegang beberapa visa.
Walaupun visa itu membenarkan beberapa lawatan ke Arab Saudi dalam tempoh tertentu, ia tidak sah untuk haji.
Encik Yusron berkata sebelum kejadian, SM dan 10 lagi warga Indonesia ditahan ketika pemeriksaan keselamatan sempena musim haji di Arab Saudi dan seterusnya dihantar pulang ke Jeddah.
Bagaimanapun, SM, J, dan S masih cuba untuk kembali ke Makkah melalui laluan tidak sah.
Ketiga-tiga individu itu menggunakan perkhidmatan teksi dan dijanjikan masuk semula ke Makkah melalui laluan haram.
Bagaimanapun, pemandu itu, yang takut ditahan oleh pihak berkuasa, dipercayai memaksa SM, J, dan S turun di tengah-tengah padang pasir, yang mempunyai keadaan suhu melampau sehingga menimbulkan ancaman serius.
Tindakan pemandu teksi menyeludup mereka membawa padah apabila SM akhirnya meninggal dunia.
Mereka kemudiannya ditemukan di tengah padang pasir oleh dron keselamatan tempatan.
“SM disahkan meninggal dunia, sementara dua lagi individu dimasukkan ke hospital,” tambah Encik Yusron.
Buat masa ini, jenazah SM masih berada di hospital Makkah.
Encik Yusron telah menghubungi keluarga SM di Madura dan mereka sedang bersiap sedia untuk pengebumian.
Beliau juga menggesa semua warga Indonesia tidak terpedaya dengan jemputan menunaikan haji melalui kaedah yang tidak mengikut prosedur.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg