Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah haji dilarang jalan kaki dari Makkah ke Arafah

Pendekatan baru Arab Saudi untuk lindungi jemaah susulan cuaca panas yang dikhuatiri boleh bawa strok haba
Jun 1, 2025 | 11:29 PM
Arab Saudi, Makkah, Arafah, strok haba, cuaca terik
Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan larangan supaya jemaah haji tidak berjalan kaki dari Makkah ke Arafah kerana cuaca panas. - Foto AFP

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan larangan supaya jemaah haji tidak berjalan kaki dari Makkah ke Arafah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, dalam program Grand Hajj Symposium di Ritz Carlton.

Menurutnya, Kerajaan Arab Saudi akan mempertingkatkan sistem pengangkutan dan semua jemaah haji perlu menaiki kenderaan disediakan, lapor laman Sinar Harian.

“Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi maklumkan disebabkan cuaca panas ramai jemaah meninggal dunia serta-merta akibat strok haba tahun lalu (2024).

“Tahun ini suhu dijangka turut panas. Kerajaan Arab Saudi telah membuat beberapa peraturan dan mengambil beberapa pendekatan baru,” katanya ketika ditemui pemberita pada 1 Jun.

Beliau berkata, antaranya jemaah haji tidak dibenarkan keluar dari khemah khususnya ketika hari masyair dari 10 pagi hingga 4 petang.

Kata beliau, jemaah haji juga dilarang ke Masjid Namirah dan Jabal Rahmah pada waktu tersebut.

“Ia bagi menjamin keselamatan jemaah haji. Justeru saya minta jemaah elakkan diri berjalan kaki walaupun kita rasa kuat dan muda, jangan memudaratkan diri sendiri.

“Biarlah kita buat ibadah namun dalam masa sama turut menjaga kesihatan dan keselamatan diri,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, simposium dihadiri menteri-menteri negara yang terlibat dalam urusan haji dan umrah berkenaan turut disertai Menteri Kesihatan, Menteri Pengangkutan dan Ketua Keselamatan Arab Saudi.

Menurut beliau, dalam simposium berkenaan, menteri dan pihak keselamatan berkenaan memaklumkan usaha-usaha telah dibuat untuk memastikan keselamatan jemaah haji.

Dalam pada itu, Dr Mohd Na’im berharap tiada rakyat Malaysia yang masuk ke tanah suci tanpa visa haji yang sah bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka.

“Saya dimaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi mengambil tindakan tegas termasuk mereka akan terjah ke hotel-hotel untuk mencari jemaah haji yang tiada permit sah

“Setakat ini tiada laporan jemaah Malaysia yang terlibat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg