PARA pengundi warga Malaysia yang bekerja dan tinggal di Singapura menyuarakan keprihatinan terhadap kenaikan harga tiket penerbangan dari Singapura ke Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada pertengahan bulan ini.
Ramai yang sukar membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia sedang harga tiket penerbangan ke Malaysia menjelang PRU15 telah meningkat hingga 50 peratus.
Tinjauan laman syarikat penerbangan tambang Malaysia Airlines semalam mendapati harga tiket sehala dari Singapura ke Kuala Lumpur adalah $329 - dua hari sebelum hari mengundi pada 19 November ini manakala tiket sehala syarikat Singapore Airlines (SIA) pada tarikh yang sama pula mencecah $517 bagi penerbangan pada 9.20 pagi.
"Harga tiket naik. Sebelum pandemik hanya sekitar $200 sehala... saya masih belum pasti mahu balik sedang harga tiket mahal. Saya perlu mengundi di Perak.
"Untuk naik kereta, sangat memenatkan dan saya pasti akan berlaku kesesakan lalu lintas,'' kata warga Malaysia di Singapura, Encik Abdul Rahman Sanusi.
Harga tiket yang tinggi telah mencetuskan rasa tidak puas hati dan ada yang menggesa syarikat penerbangan menurunkan harga tiket untuk membolehkan mereka pulang mengundi pada 19 November nanti.
Encik Arshad Abdullah berkata beliau tidak terkejut dengan kenaikan harga kerana kenaikan bukan sahaja melibatkan kenaikan harga penerbangan ke Malaysia sahaja tetapi juga pelbagai negara.
Harga penerbangan yang tinggi bukan sahaja menjejas warga Malaysia untuk mengundi tetapi juga warga Singapura yang merancang untuk bercuti pada cuti sekolah pada hujung tahun ini.
LAPORAN SELANJUTNYA: Tambang ke M'sia naik lepas pilihan raya diumum
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg