Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga S’pura 25 tahun ditahan disyaki bunuh teman wanita di Bali
Warga S’pura 25 tahun ditahan disyaki bunuh teman wanita di Bali
Warga S’pura 25 tahun ditahan disyaki bunuh teman wanita di Bali
DENPASAR, Bali: Seorang lelaki warga Singapura ditahan polis Indonesia selepas disyaki membunuh teman wanitanya di sebuah rumah sewa di Denpasar, Bali, sebelum menyembunyikan mayat mangsa selama beberapa hari dengan menutupnya menggunakan patung permainan dan permaidani.
Suspek berusia 25 tahun yang dikenali sebagai MZ ditahan pada malam 15Julai, kurang tiga jam selepas polis menerima laporan penemuan mayat mangsa.
Ketua Polis Denpasar, Pesuruhjaya Leonardo D. Simatupang, berkata suspek ditahan berhampiran Jalan Pintasan Ngurah Rai di Sanur ketika dipercayai cuba melarikan diri.
Mangsa, dengan inisial AS, 25 tahun, berasal dari Tegal, Jawa Tengah, ditemukan meninggal dunia di bilik sewanya di Denpasar Selatan selepas ahli keluarganya gagal menghubunginya selama hampir seminggu.
Menurut polis, adik mangsa mengambil keputusan pergi ke rumah sewa itu selepas panggilan telefon dan mesej kepada kakaknya tidak berjawab.
Sebaik tiba di lokasi, beliau menghidu bau busuk yang kuat dari dalam bilik sebelum menemui mayat mangsa yang sebahagiannya ditutup dengan beberapa patung permainan dan permaidani.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat dicekik selama kira-kira 15 minit sebelum mayatnya disembunyikan di dalam bilik,” kata Encik Leonardo.
Beliau berkata siasatan awal turut mendapati mangsa dan suspek menjalinkan hubungan cinta selama kira-kira setahun.
Polis percaya pembunuhan itu berpunca daripada konflik dalam hubungan mereka.
“Motif sementara berdasarkan soal siasat ialah suspek menyimpan rasa sakit hati berkaitan hubungan asmara mereka,” katanya.
Encik Leonardo berkata, selepas dipercayai membunuh mangsa, suspek cuba melarikan diri ke arah Sanur sebelum berjaya diberkas sepasukan anggota daripada Direktorat Siasatan Jenayah Polis Bali, Polis Denpasar dan Polis Denpasar Selatan.
Menurut polis, suspek memasuki Indonesia menggunakan visa lawatan, namun didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan sejak tahun 2025.
Timbalan Ketua Polis Denpasar, Encik Ketut Widiarta, berkata rekod imigresen menunjukkan suspek berada di Indonesia selama kira-kira setahun dalam status tinggal melebihi tempoh sah.
Beliau berkata, selepas pembunuhan itu, suspek terus tinggal di rumah sewa berkenaan dan didakwa memindahkan mayat mangsa ke bilik sebelah bagi mengelakkan ia ditemui.
Menurut pengakuan awal suspek, beliau turut menggunakan alat penapis udara bagi mengurangkan bau mayat yang semakin mereput.
“Suspek mengaku menggunakan penapis udara untuk menghilangkan bau kerana dia masih tinggal di lokasi kejadian,” kata Widiarta.
Polis percaya tindakan menyembunyikan mayat itu dilakukan bagi melindungi jenayah yang dilakukan.
Siasatan turut mendapati suspek berada di bilik bersebelahan ketika adik mangsa datang mencari kakaknya.
Ketika ditanya mengenai keberadaan mangsa, suspek dikatakan enggan memberikan sebarang jawapan sehingga menimbulkan syak wasangka.
Adik mangsa kemudian bertindak memukul suspek menggunakan topi keledar motosikal sebelum lelaki itu melarikan diri menaiki motosikal.
Susulan laporan dibuat, polis melancarkan operasi memburu suspek sebelum berjaya menahannya pada malam yang sama.
Polis turut mengesahkan mangsa dan adiknya bekerja di sebuah pusat biliard di Jalan Nakula, Kuta.
Penduduk sekitar berkata mereka tidak pernah mengesyaki sebarang kejadian buruk kerana pasangan itu dikenali sebagai ramah dan sering menyapa jiran.
Seorang jiran yang tinggal bersebelahan sejak empat bulan lalu berkata kali terakhir beliau mendengar bunyi bising ialah ketika sambutan hari jadi di bilik mangsa pada 11 Julai lalu.
“Saya hanya dengar mereka ketawa dan berbual sehingga kira-kira pukul 1 pagi. Selepas itu semuanya kembali sunyi seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata kawasan rumah sewa itu lazimnya tenang kerana kebanyakan penyewa keluar bekerja pada waktu siang.
“Saya terkejut apabila melihat begitu ramai anggota polis dan petugas keselamatan tradisional datang. Barulah saya tahu pembunuhan berlaku di bilik sebelah,” katanya.
Jiran itu turut memaklumkan beliau tidak pernah mendengar jeritan atau menghidu bau busuk sebelum mayat mangsa ditemui.
Polis kini sedang menyelaras siasatan dengan atase polis Singapura di Jakarta bagi mendapatkan rekod latar belakang suspek di negara asalnya.
Sementara itu, lokasi kejadian masih dikawal polis bagi membolehkan siasatan forensik diteruskan, manakala suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Denpasar untuk membantu siasatan lanjut. - Agensi berita
