DENPASAR: Tiga lelaki warga Australia telah didakwa secara rasmi atas kesalahan membunuh dengan niat di Bali, Indonesia, satu jenayah serius yang boleh membawa hukuman mati. Pertuduhan itu dikemukakan susulan insiden tembakan maut pada 14 Jun lalu yang meragut nyawa seorang rakyat Australia dan mencederakan seorang lagi.
Ketiga-tiga suspek Tupou Pasa Midolmore, 37 tahun; Coskun Mevlut, 23 tahun dan Darcy Francesco Jenson, 37 tahun dibawa ke hadapan media pada 26 Jun dalam keadaan bergari, memakai pakaian seragam penjara berwarna jingga serta penutup muka, menurut laporan Jakarta Globe.
“Ini adalah serangan yang dirancang dengan teliti dan dijalankan secara teratur bukan perbuatan spontan,” tegas Ketua Polis Bali, Inspektor Jeneral Daniel Adityajaya. “Ia adalah operasi yang bersifat profesional dan dilakukan dengan niat jelas.”
Insiden itu berlaku di Villa Casa Santisya di Badung. Menurut siasatan awal, ketiga-tiga suspek menaiki dua buah motosikal, menyerang mangsa, dan kemudian melarikan diri dengan kenderaan berasingan. Mereka kemudiannya meloloskan diri dari Bali dan bergerak merentasi beberapa wilayah di Indonesia, sebelum tiba di Sidoarjo, Jawa Timur, dan mengambil bas ke Jakarta.
Seorang daripada mereka ditahan di Jakarta, manakala dua lagi diberkas di Singapura dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.
Mangsa yang terbunuh ialah Zivan Radmanovic, 32 tahun, manakala Sanar Ghanim, 34 tahun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di hospital. Kedua-duanya merupakan warga Australia.
Polis mendakwa Jenson sebagai dalang utama dalam serangan itu. Beliau dipercayai telah mengatur penginapan, menyediakan kenderaan, membeli tukul untuk memecah masuk ke vila, serta menyediakan dokumen perjalanan bagi membantu mereka melarikan diri selepas kejadian.
Midolmore dan Mevlut pula didakwa sebagai pelaku utama serangan fizikal, dengan penyiasat mengatakan mereka menyamar sebagai penunggang motosikal e-hailing untuk mendekati vila tanpa menimbulkan kecurigaan.
“Kami percaya mereka menggunakan helah menyamar demi memastikan operasi berjalan lancar tanpa dikesan,” kata Daniel.
Setakat ini, pihak polis belum mendedahkan motif di sebalik serangan tersebut dan masih meneruskan siasatan. Mereka tidak menolak kemungkinan wujudnya suspek lain yang turut terlibat dalam kes ini.
Ketiga-tiga suspek kini berdepan dakwaan di bawah Artikel 340 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan pembunuhan dengan niat, serta di bawah undang-undang pemilikan senjata api tanpa izin, kedua-duanya membawa hukuman berat, termasuk hukuman mati.
“Siasatan masih berjalan, dan kami tidak menolak kemungkinan ada individu lain yang terlibat,” tambah Daniel.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg