Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura ‘huru-hara’ di Dubai dek banjir, ribut buruk

Apr 19, 2024 | 7:24 PM
Anak Cik Nurul Huda Abdul Wahid, Raiqa Nasuha Muhammad Redzuan, lima tahun (kiri) kelihatan menggunakan pengelap lantai untuk meresap air yang bertakung di dalam rumahnya apabila air banjir mengalir masuk ke dalam rumah itu ketika ribut pada 16 April (kanan).
Anak Cik Nurul Huda Abdul Wahid, Raiqa Nasuha Muhammad Redzuan, lima tahun (kiri) kelihatan menggunakan pengelap lantai untuk meresap air yang bertakung di dalam rumahnya apabila air banjir mengalir masuk ke dalam rumah itu ketika ribut pada 16 April (kanan). - Foto NURUL HUDA ABDUL WAHID

DUBAI: Daripada gangguan trafik ke kelewatan di lapangan terbang dan kerosakan harta benda dek air bertakung di dalam rumah.

Itulah pengalaman warga Singapura yang tinggal di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), apabila mengimbas kembali “huru-hara” apabila ribut paling dahsyat sejak 75 tahun yang menimpa bandar itu pada 16 April.

Cik Intan Nazrahayu Mohd Nasir, 48 tahun, yang tinggal di sana sejak 2008, baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada 9.25 pagi waktu tempatan pada 17 April, selepas pulang bercuti di Singapura.

Namun, beliau terpaksa menunggu sekitar lapan jam untuk meninggalkan lapangan terbang itu ekoran kelewatan pesawat mencari tempat meletak kereta dan menurunkan bagasi.

Menurutnya, apabila hendak pulang ke kota, sistem rel, tidak beroperasi memandangkan beberapa stesen mengalami banjir, kedai runcit di lapangan terbang pula tidak cukup bekalan makanan atau minuman selain bilangan teksi juga agak terhad.

“Keadaan huru-hara di lapangan terbang dan seluruh tempoh penerbangan saya mencecah lebih 26 jam,” ujarnya kepada Berita Harian apabila dihubungi.

Banjir di lebuh raya dari lapangan terbang menuju ke kota Dubai.
Banjir di lebuh raya dari lapangan terbang menuju ke kota Dubai. - Foto INTAN NAZRAHAYU MOHD NASIR

Suaminya terpaksa menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang bersalut debu kerana melalui jalan tanah memandangkan banyak jalan tar ditutup akibat banjir, katanya.

Namun, Cik Intan menyifatkan dirinya “lebih bertuah” berbanding temannya.

Air kelihatan bertakung di halaman luar rumah Cik Nurul Huda hingga mengalir ke dalam rumah dan menyebabkan beberapa permaidani rosak.
Air kelihatan bertakung di halaman luar rumah Cik Nurul Huda hingga mengalir ke dalam rumah dan menyebabkan beberapa permaidani rosak. - Foto NURUL HUDA ABDUL WAHID

Cik Nurul Huda Abdul Wahid, 37 tahun, misalnya, yang tinggal di kawasan Nad Al Sheba 1, sekitar 13 kilometer dari pusat kota Dubai, mengalami kerosakan pada harta bendanya apabila kawasan rumahnya naik air pada 16 April.

“Kami langsung tidak bersedia untuk menghadapi hujan itu, kami fikirkan ia hanya hujan biasa,” tulisnya kepada wartawan menerusi WhatsApp.

“Apabila ribut bertambah kencang petang itu, kami perhatikan paras air di luar rumah mula naik tinggi dan mula mengalir masuk dari pintu gelas rumah kami,” ujar ibu dalam keluarga lima beranak itu.

Kini, selain mengalami kerosakan tanaman di luar rumahnya dan permaidani di ruang tamu, beliau sibuk mengeluarkan baki air yang masih bertakung di dalam rumahnya.

Cik Nurul Huda Abdul Wahid, yang menetap di Dubai sejak 2022, bergambar bersama suaminya Encik Muhammad Redzuan Rashid (kanan), seorang juruterbang Emirates, dan tiga anak mereka.
Cik Nurul Huda Abdul Wahid, yang menetap di Dubai sejak 2022, bergambar bersama suaminya Encik Muhammad Redzuan Rashid (kanan), seorang juruterbang Emirates, dan tiga anak mereka. - Foto ihsan NURUL HUDA ABDUL WAHID

Pada 16 April, UAE dan negara jiran Oman serta Bahrain dilanda ribut yang disifatkan sebagai “peristiwa cuaca bersejarah” sejak negara itu merekod bancian pada 1949, lapor agensi berita tempatan WAM.

Dalam tempoh kurang 24 jam hari itu, UAE mencatatkan turunan hujan tertinggi hingga 254 milimeter, berbanding jumlah purata 140 hingga 200 milimeter yang dialami negara itu setiap tahun.

Berikutan kejadian itu, aliran lalu lintas dilaporkan tersekat ekoran banjir kilat dan penerbangan terhenti di lapangan terbang.

Di Oman, 18 orang maut akibat bencana itu.

Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed, mengarahkan semakan dilaksana terhadap prasarana negara selepas bencana itu menyebabkan gangguan berskala besar.

Beberapa kenderaan kelihatan separuh tenggelam akibat air yang masih bertakung di jalan raya kota Dubai pada 19 April.
Beberapa kenderaan kelihatan separuh tenggelam akibat air yang masih bertakung di jalan raya kota Dubai pada 19 April. - Foto REUTERS

Dalam satu wawancara agensi berita asing, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dubai Airports, Encik Paul Griffiths berkata:

‘“Ini satu keadaan yang mencabar, catatan rekod dari sudut meteorologi dimulakan pada 1949, dan sejak itu kami tidak pernah melihat cuaca seteruk ini.”

Encik Rosebi Mohd Sah, mantan koresponden akhbar ini yang kini bergelar pendidik swasta, 64 tahun berkata, sejak beliau dan keluarga menetap di situ lebih enam tahun lalu, ribut tersebut adalah ‘‘bencana’‘ terbesar.

Bahkan, isterinya nyaris-nyaris tidak berupaya pulang pada hari itu selepas tamat bertugas di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai, di daerah pusat bandar ekoran keadaan cuaca yang berbahaya.

Keadaan banjir pada 16 April di daerah Jumeirah, berhampiran tempat tinggal Encik Rosebi di Umm Suqeim 3 (kiri) dan berdekatan tempat kerja isterinya di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (kanan).
Keadaan banjir pada 16 April di daerah Jumeirah, berhampiran tempat tinggal Encik Rosebi di Umm Suqeim 3 (kiri) dan berdekatan tempat kerja isterinya di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (kanan). - Foto ROSEBI MOHD SAH

“Kami sepakat agar isteri saya menginap di hotel berdekatan pada malam itu sebab sukar baginya mendapat Careem (khidmat tempah kereta sewa privet), dan kebanyakan jalan raya tak boleh digunakan akibat banjir,” katanya yang tinggal di daerah Jumeirah – sekitar enam kilometer dari pusat kota.

“Mujur beliau dapat pulang dengan selamat pada malam itu,” tambahnya.

Pengawal trafik udara, Encik Zahari Ismail, 50 tahun, yang tinggal di Dubai Silicon Oasis, sekitar 19 kilometer dari pusat kota, berkata selain jalan raya yang rosak dan diperlukan mencari jalan alternatif, barang rumah di pasar raya berdekatan pula berkurangan.

Keadaan banjir di sekitar kawasan Dubai Silicon Oasis dirakam Encik Zahari.
Keadaan banjir di sekitar kawasan Dubai Silicon Oasis dirakam Encik Zahari. - Foto ZAHARI ISMAIL

Banjir turut menjejas halaman luar rumahnya dengan air bertakung hingga ke paras buku lali hingga ke lutut, katanya.

“Kami perlu pergi ke kawasan lebih jauh untuk mencari barang dapur, dan di persekitaran kota, nampaknya banyak kereta masih tersendat di tengah jalan sebab banjir,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg