Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERANG RUSSIA-UKRAINE

Warga Ukraine sedia perang, pertahan ibu kota

* Presiden Zelensky dakwa jadi "sasaran nombor satu" Russia * Menteri Luar Russia: Kami tidak mahu runding sehingga Ukraine "henti melawan"
Feb 26, 2022 | 05:30 AM



KYIV: Ibu kota Ukraine dibedil sedang tentera Russia dilaporkan telah memasuki kawasan sekitar Kyiv semalam, menurut Kementerian Pertahanan Ukraine - satu petanda krisis itu semakin meruncing.



Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, merayu kepada masyarakat antarabangsa agar melakukan lebih banyak lagi, dan mengatakan langkah sekatan seperti yang diumumkan sejauh ini belum mencukupi.



Dalam ucapannya semalam yang dipetik media antarabangsa, Encik Zelensky mendedahkan para pensabotaj Russia telah memasuki ibu kota Kyiv dan beliau adalah "sasaran nombor satu" dan diikuti dengan keluarganya.



Dalam satu ucapan ringkas menerusi video yang disiarkan selepas tengah malam di Ukraine, Encik Zelensky, yang dilihat tidak bercukur dan memakai kemeja-T, menyatakan seramai 137 warga Ukraine, askar dan orang awam telah terbunuh dalam serangan Russia yang bermula pagi kelmarin.



Seorang pegawai kanan Ukraine berkata, tentera Ukraine memberikan tentangan bagi mempertahankan ibu kotanya.



Pihak berkuasa juga menggesa warga untuk siap pertahan diri atau mencari perlindungan, menurut kementerian itu melalui satu ciapan di Twitter.



Beberapa video di media sosial juga menunjukkan beberapa kereta kebal Russia di kawasan Obolon, berdekatan ibu kota Ukraine.



Ribuan warga Ukraine telah berpindah ke negara-negara jiran, antaranya Moldova, Romania dan Poland, sementara lebih 100,000 penduduk telah melarikan diri dari rumah mereka selepas bermulanya serangan Russia terhadap negara itu kelmarin, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



"Russia mendakwa mereka tidak menyerang orang awam, namun sebanyak 33 tapak awam telah diserang sepanjang 24 jam lalu," menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Vadym Denysenko, yang ditukil agensi berita Reuters.



Menurut pegawai Ukraine, gerombolan tentera Russia sudah berada di kawasan bandar, dan menggesa orang ramai untuk mempertahankan diri mereka menggunakan bom petrol.



Presiden Zelensky berkata, tentera Russia yang menceroboh negara itu menyasarkan kawasan awam dan beliau meyakinkan penduduk bahawa Kyiv akan berusaha sedaya mungkin untuk melindungi mereka.



Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pegawai Ukraine berkata, Russia bertujuan menawan Kyiv dan menggulingkan pemerintah yang dianggapnya sebagai boneka AS.



Menteri Luar Russia, Encik Sergey V. Lavrov, menjelaskan Russia tidak akan berunding sehingga Ukraine berhenti melawannya.



Presiden Zelensky bagaimanapun berkata, Russia harus berbincang dengan Kyiv bagi menghentikan serangannya ke atas Ukraine.



"Lebih awal perbincangan ini bermula, semakin kurang kerugian yang akan dialami Russia," katanya.



Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia telah mengeluarkan kenyataan bahawa tenteranya kini mengawal kawasan loji nuklear Chernobyl untuk "melindunginya".



Katanya, ia sedang memastikan bahawa "kumpulan nasionalis dan pertubuhan pengganas lain tidak dapat menggunakan situasi dalam negara itu untuk memulakan provokasi nuklear".



Russia juga melaporkan bahawa tahap radiasi keliling loji tersebut berada di tahap normal dan kakitangannya terus memantau tahap radioaktif kawasan itu.



Sebelum ini, pegawai Ukraine telah melaporkan bahawa tentera Russia telah mengambil alih kawalan loji nuklear tersebut.



"Pegawai kami bertaruh nyawa supaya tragedi 1986 tidak akan berulang," katanya dalam satu ciapan di Twitter. "Ini merupakan pengisytiharan perang terhadap seluruh Eropah."



Sebelum ini, Presiden AS, Encik Joe Biden, berkata Amerika dan sekutunya akan bertindak balas secara bersatu padu dan tegas terhadap "serangan tanpa provokasi dan tidak wajar oleh tentera Russia".



"Presiden Putin telah melakukan perang yang dirancang yang akan membawa kemusnahan besar nyawa dan penderitaan manusia," kata Encik Biden dalam satu kenyataan. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >