Peminat filem fantasi Harry Potter kini boleh tiru aksi watak-watak utama dengan menghayunkan tetongkat ajaib yang berada dalam genggaman, sedang pameran seni interaktif, Harry Potter: Visions Of Magic di Resorts World Sentosa (RWS) membuka tirai pada 22 November ini.
Pameran yang berlangsung hingga 31 Mac 2025 itu memberi peluang kepada pengunjung menjadi ahli sihir atau ‘wizard’ yang membongkar dunia penuh misteri menggunakan tetongkat ajaib yang diberi, sambil menghayati adegan filem Harry Potter yang seakan dihidupkan semula.
Singapura merupakan satu-satunya destinasi Asia yang menampilkan tarikan bertemakan Harry Potter yang diilhamkan karya fantasi tentang tiga sekawan – Harry Potter, Hermione Granger dan Ron Weasley – yang menuntut di sekolah sihir, Hogwarts, dalam usaha yang mendebarkan untuk menjatuhkan raja kuasa jahat, Lord Voldemort.
Dicipta oleh Warner Bros Discovery Global Experiences dan syarikat Neon yang beribu pejabat di Singapura, tarikan itu mengadakan tayangan perdana di Cologne, Jerman, pada Disember 2023, sebelum ke Brussels, Belgium, pada Julai.
Seluas 40,000 kaki persegi – hampir dua kali ganda skala pameran di Cologne dan Brussels – paparan di RWS menampilkan 10 sekitaran, termasuk dua yang eksklusif hanya untuk Singapura iaitu The Trap Door dan The Chamber Of Secrets.
Sewaktu previu media pada 18 November, Encik Welby Altidor, ketua pegawai inovasi dan kreatif Neon Global, berkata bahawa pameran ini sangat interaktif, beza daripada pengalaman berkunjung ke set studio.
Menerusi pameran ini, pengunjung akan dapat menghayati dan menggerakkan magis itu dalam sekitaran interaktif, termasuk kesan khas dan kerja seni yang menggabungkan bunyi untuk menghasilkan kesan tertentu atau dikenali sebagai ‘soundscape’ luar biasa.
“Anda berpeluang memetik banyak gambar yang boleh dikongsi di wadah media sosial anda. Ia direka supaya anda dapat berkongsi kandungan yang sangat baik.
“Dan saya rasa ia pengalaman yang hebat untuk peminat semua lapisan umur,” ujarnya.
Salah satu sekitaran yang menonjol dalam tarikan itu ialah The Chamber Of Secrets yang membuat kemunculan sulung di Singapura.
Tetamu akan dibawa ke dalam bilik dengan pintu ‘dipagar’. Beberapa ular menjadi penghalang antara mereka dengan bilik seterusnya.
Pengunjung perlu mengarahkan tetongkat mereka ke pintu tersebut bersama, untuk mewujudkan magis yang dapat membuka pintu itu.
Dalam filem kedua Harry Potter, pintu besar berbentuk bulat dengan tujuh ular menandakan jalan masuk ke Chamber atau kebuk, dan hanya dibuka apabila Harry bertutur dalam ‘Parseltongue’, bahasa kuno ular.
Setelah pintu dibuka, pengunjung dapat maju ke bilik seterusnya yang memaparkan Salazar Slytherin, salah seorang pengasas Hogwarts dan ahli sihir yang membina kebuk itu.
Beberapa patung ular mengapit Salazar, dan dengan penggunaan kesan digital, bilik yang gelap itu dipenuhi dengan ‘basilisk’ – ular bertaring berbisa yang sangat besar.
Sekitaran The Trap Door juga eksklusif untuk Singapura.
Dijaga oleh anjing berkepala tiga, Fluffy, bilik-bilik tersebut membawa kepada Philosopher’s Stone, yang membolehkan tongkat interaktif digunakan.
Selain itu, pengunjung boleh menghayati lapan sekitaran lain – The Knight Bus, Grimmauld Place, Ministries of Magic, Hall of Prophecy, Newt’s Menagerie, Knockturn Alley, Room of Requirement dan The Pensieve.
Di akhir kunjungan itu, tetamu boleh membasahkan tekak dengan minuman ikonik ‘butterbeer’ (diperbuat daripada soda krim, mentega, sos karamel dan krim), membeli barangan eksklusif bertemakan Harry Potter seperti tetongkat ajaib milik ahli sihir Harry Potter hingga pakaian unik rumah sekolah Hogwarts – Gryffindor, Hufflepuff, Ravenclaw, dan Slytherin.
Berminat untuk kunjung tarikan Harry Potter: Visions of Magic?
Lokasi: Forum, Tingkat B1, Resorts World Sentosa, 8 Sentosa Gateway
Bila: 22 November 2024 hingga 31 Mac, 2025, 11 pagi hingga 10 malam setiap hari
Bayaran masuk: Bermula dari $39 untuk kanak-kanak (berusia empat hingga 12 tahun) dan $49 untuk warga dewasa (berusia 13 tahun dan ke atas)
Tempahan: Laporan lanjut boleh didapatkan di laman web harrypottervisionsofmagic.com/sg dan tiket boleh dibeli menerusi Ticketmaster, RWS, dan agensi dalam talian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg