BANDAR GAZA: Ratusan pesakit di Jaluran Gaza dilaporkan meninggal dunia ketika menunggu kebenaran untuk dipindahkan bagi mendapatkan rawatan, manakala puluhan ribu lagi masih menunggu kelulusan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam laporan agensi berita Wafa yang dikeluarkan pada 16 November, badan itu mengesahkan lebih 900 pesakit maut akibat sekatan Israel terhadap permit perjalanan ke luar Gaza, termasuk kanak-kanak yang memerlukan rawatan segera.
“Lebih 16,500 pesakit sedang menunggu pemindahan, termasuk kira-kira 4,000 kanak-kanak.
“Sebarang kelewatan tambahan bersamaan hukuman mati,” kata WHO dalam satu kenyataan.
WHO turut menjelaskan bahawa hospital di Gaza kini beroperasi di bawah paras 50 peratus kapasiti, akibat kekurangan bahan api, ubat-ubatan dan bekalan kritikal.
Sejak Mei 2024, WHO telah menjalankan 119 misi pemindahan, menghantar 8,000 pesakit, termasuk 5,500 kanak-kanak, ke luar Gaza untuk rawatan.
Namun ribuan lagi kekal terperangkap dalam sistem kesihatan yang runtuh, tanpa jaminan rawatan.
Ketua Pengarah WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pasukan mereka masih bekerja di lapangan untuk menyelamatkan nyawa dan membina semula sistem kesihatan yang musnah.
“Lebih 16,500 pesakit, termasuk 4,000 kanak-kanak, sedang menunggu pemindahan segera.
“Hospital yang tinggal terpaksa beroperasi berkali-kali ganda lebih daripada kapasiti sebenar dalam keadaan kekurangan bekalan kritikal,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada lebih 30 negara yang bersetuju menerima pesakit Gaza, namun menegaskan saha itu tidak mencukupi.
“Nyawa mereka bergantung kepada pembukaan laluan pemindahan tambahan dan percepatan operasi. Kesihatan dan pemulihan tidak boleh menunggu,” katanya sambil menyeru supaya semua laluan pemindahan termasuk yang menuju ke Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur dibuka segera.
Pusat Hak Asasi Manusia Gaza pula memberi amaran keadaan pesakit semakin parah, dengan sektor kesihatan terus runtuh akibat kekurangan ubat-ubatan, peralatan dan penutupan lintasan oleh Israel.
Dalam satu kenyataan pada 16 November, pusat itu mendokumentasikan 10,000 kematian pesakit, termasuk wanita dan kanak-kanak, sepanjang dua tahun lalu akibat serangan berterusan Israel yang meratakan rangkaian kesihatan.
Kenyataan itu juga mendedahkan 1,000 pesakit yang telah didaftarkan untuk pemindahan turut meninggal dunia kerana rawatan yang diperlukan tidak tersedia dalam Gaza.
“Sistem pemindahan perubatan yang dikawal Israel tidak lagi boleh diterima. Prosedurnya kompleks, lambat, dan sering kali berakhir dengan penolakan. Pesakit pula semakin tenat kerana rawatan tidak dapat diberikan,” kata pusat itu.
Walaupun gencatan senjata dicapai pada 11 Oktober, Gaza masih berdepan kekurangan makanan, ubat dan tenaga, menjadikan krisis kemanusiaan semakin meruncing.
Sumber perubatan di Gaza turut mengesahkan jumlah kematian keseluruhan sejak serangan Israel bermula pada 7 Oktober 2023 telah meningkat kepada 69,483 orang, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Jumlah yang cedera pula mencecah 170,706 orang, dengan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan kerana pasukan penyelamat tidak dapat memasuki kawasan berisiko tinggi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg