Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WHO beri amaran risiko penularan global wabak chikungunya

Jul 23, 2025 | 11:17 AM
Seorang pekerja berusaha menghapuskan nyamuk-nyamuk di kawasan Saint-Benoit di kepulauan La Reunion, Perancis sedang bilangan kes jangkitan virus chikungunya di tempat tersebut meningkat.
Seorang pekerja berusaha menghapuskan nyamuk-nyamuk di kawasan Saint-Benoit di kepulauan La Reunion, Perancis sedang bilangan kes jangkitan virus chikungunya di tempat tersebut meningkat. - Foto AFP

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak virus chikungunya berisiko tinggi melanda seluruh dunia dan meminta tindakan segera untuk mencegahnya.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata terdapat tanda amaran awal yang mirip kepada penularan wabak itu dua dekad lalu dan mahu mencegahnya daripada berulang.

Chikungunya adalah penyakit virus bawaan nyamuk yang menyebabkan demam dan sakit sendi. Dalam sesetengah kes ia boleh membawa maut.

“Chikungunya bukanlah penyakit yang diketahui secara meluas, tetapi ia telah dikesan dan disebarkan di 119 negara di seluruh dunia, menjadikan 5.6 bilion orang berisiko,” kata Cik Diana Rojas Alvarez dari WHO.

Beliau mengimbas kembali 2004 hingga 2005, apabila wabak chikungunya melanda Lautan Hindi, di wilayah pulau kecil sebelum merebak ke seluruh dunia dan menjejaskan hampir setengah juta orang.

“Hari ini, WHO melihat corak yang sama muncul, sejak awal 2025 di pulau Reunion, Mayotte dan Mauritius semuanya telah melaporkan kes Chikungunya yang tinggi.

“Satu pertiga daripada penduduk Reunion dianggarkan telah dijangkiti,” katanya pada taklimat akhbar di Geneva.

Menurut WHO, chikungunya mempunyai gejala serupa dengan demam denggi dan penyakit virus Zika, menjadikannya sukar untuk didiagnosis.

“Transmisi wabak juga dikesan berlaku di Asia Selatan manakala di Eropah, kes import dilaporkan, dikaitkan dengan wabak di kepulauan Lautan Hindi dan penularan tempatan dilaporkan di Perancis, selain kes disyaki dikesan di Itali.

“Oleh kerana corak penularan ini dilihat sama dengan penularan wabak pada 2004 dan seterusnya, WHO menggesa tindakan segera untuk mengelakkan sejarah daripada berulang,” kata Cik Rojas.

Beliau menyatakan bahawa kadar kematian kes adalah kurang daripada satu peratus, tetapi apabila kes mencecah angka berjuta, satu peratus boleh menjadi beribu-ribu kematian.

Virus chikungunya disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk betina yang dijangkiti, kebanyakannya nyamuk spesis Aedes aegypti dan Aedes albopictus.

Terbaru, spesis yang dikenali sebagai nyamuk harimau, menjelajah lebih jauh ke utara ketika dunia semakin panas kerana perubahan iklim akibat perbuatan manusia.

Mereka aktif terutama pada waktu siang, dengan aktiviti puncak selalunya pada awal pagi dan lewat petang.

WHO menggesa orang ramai melindungi diri mereka melalui langkah-langkah seperti menggunakan ubat nyamuk dan tidak membiarkan air bertakung di dalam bekas seperti baldi, tempat nyamuk boleh membiak. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg