Kesan perubahan iklim di Asia Pasifik kini merentasi lebih daripada sekadar paras laut yang meningkat dan musim menuai yang terganggu, ia juga sedang mengubah tingkah laku nyamuk pembawa parasit malaria.
Peningkatan suhu memanjangkan jangka hayat nyamuk, sekali gus meningkatkan peluang mereka menggigit dan menjangkiti manusia.
Malaria merupakan salah satu daripada empat penyakit bawaan nyamuk utama selain demam denggi, ensefalitis Jepun dan chikungunya.
Walaupun kematian akibat malaria di Indonesia sekitar 130 kes setahun, penyakit ini kekal penyebab kematian tertinggi berbanding tiga penyakit lain.
“Peningkatan suhu menyebabkan nyamuk hidup lebih lama, jadi kemungkinan mereka menggigit dan menyebarkan malaria bertambah.
“Mereka juga lebih bertahan pada perubahan suhu,” kata Pengerusi Penilaian Nasional Penghapusan Malaria dari Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Indonesia, Dr Ferdinand J. Laihad.
Beliau berkata demikian kepada wartawan di sidang puncak serantau mengenai penghapusan malaria di Nusa Dua, Bali, Indonesia, yang berlangsung pada 16 dan 17 Jun.
Dr Laihad menambah, perubahan corak hujan dan kelembapan meningkatkan kesesuaian tempat pembiakan nyamuk pembawa malaria, sekali gus membolehkannya bertelur lebih banyak.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) meramalkan musim kemarau 2025 lebih singkat di kebanyakan wilayah.
Pengerusi BMKG, Profesor Dr Dwikorita Karnawati, berkata kemarau memuncak Jun hingga Ogos 2025, dengan Jawa Tengah ke Jawa Timur, Kalimantan, Sulawesi, Bali, Nusa Tenggara dan Maluku dijangka mengalami puncak kemarau pada Ogos.
“Tempoh musim kering dijangka lebih singkat di kebanyakan kawasan, walaupun 26 peratus wilayah, terutama di sebahagian Sumatera dan Kalimantan, mungkin mengalami musim kering lebih panjang,” tambahnya.
Keadaan itu turut menyumbang kepada peningkatan risiko malaria kerana takungan air yang kekal semasa musim kering sering menjadi lokasi ideal bagi nyamuk pembawa parasit untuk membiak.
Banyak bukti menunjukkan perubahan iklim dan suhu menjadikan penularan malaria semakin sukar diramal, kata Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Leaders Malaria Alliance (APLMA) yang berpusat di Singapura, Dr Sarthak Das.
“Kita perlu meneruskan usaha menghapuskan malaria dan menyelesaikannya sebelum keadaannya bertambah sukar,” ujarnya.
Dengan sasaran menghapuskan malaria menjelang 2030 – kini 407 daripada 514 daerah dan bandar sudah bebas malaria, Indonesia melancarkan Inisiatif Seruan Indonesia untuk Menghapuskan Malaria semasa sidang puncak, bagi menggerakkan kerjasama antara pentadbiran domestik dan rentas sempadan dengan negara jiran Pasifik.
“Malaria bukan sekadar isu kesihatan; ia juga isu pembangunan. Untuk benar-benar menghapuskan malaria, kita mesti melangkaui sektor kesihatan,” kata Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Gunadi Sadikin, dalam ucapan pembukaan.
Ketika ini, lebih 90 peratus kes malaria di Indonesia dikesan di Papua yang berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea.
Namun, Kementerian Kesihatan menambah, kadar pengesanan kes di wilayah berhutan tebal itu masih rendah – hanya mencapai 54 peratus pada 2024, meningkat daripada kurang 40 peratus sebelum ini.
Salah satu cabaran besar ialah pergerakan penduduk, khususnya pekerja hutan dan masyarakat peribumi, yang kerap berpindah dan sukar dicapai perkhidmatan kesihatan.
“Mereka berada di kawasan rentan malaria dan sukar diakses,” kata Pengarah Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan, Cik Ina Agustina.
Pergerakan penghidap malaria turut menjadi cabaran di Tanah Bumbu, daerah di Kalimantan Selatan yang telah diisytihar sifar kes tempatan.
“Masih ada kes di Tanah Bumbu, tetapi semuanya kes import, dibawa oleh individu yang dijangkiti di tempat lain,” jelas Bupati (Ketua Daerah) Tanah Bumbu, Encik Andi Rudi Latif, kepada Berita Harian.
Tanah Bumbu dengan landskap lombong arang batu dan ladang kelapa sawit mencapai sifar kes tempatan pada Mei 2025, berbanding ratusan kes pada 2019.
Sementara itu, Bupati Balangan, Encik Abdul Hadi, yang berjiran dengan Tanah Bumbu berkata, usaha di peringkat daerah membuka jalan ke arah penghapusan malaria di seluruh provinsi.
“Kami menjalankan usaha yang diselaraskan di peringkat provinsi, tetapi ia bermula di daerah,” katanya di sidang puncak.
Di Tanah Bumbu, usaha berterusan termasuk agihan kelambu dan pewasapan berkala.
Kelambu tersebut ialah sebahagian daripada 3.3 juta unit sumbangan Global Fund, penderma berbilang hala bagi membasmi malaria, batuk kering dan virus kurang daya tahan manusia (HIV) di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengarah Eksekutif Global Fund, Encik Peter Sands, menegaskan pengurangan kes malaria di kawasan rentan terbukti meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan prestasi pendidikan.
“Kanak-kanak yang bebas malaria tidak lagi kerap ponteng sekolah. Ini memberi kesan langsung kepada masa depan mereka,” katanya, sambil menambah beban kerja kakitangan kesihatan juga berkurang, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada keperluan asas lain. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg