Topik diikuti
Pergi ke BHkuWHO isytihar wabak hantavirus di kapal persiaran berakhir
WHO isytihar wabak hantavirus di kapal persiaran berakhir
WHO isytihar wabak hantavirus di kapal persiaran berakhir
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2 Julai mengisytiharkan wabak hantavirus yang tercetus di atas kapal persiaran MV Hondius sudah berakhir selepas individu terakhir yang menjalani kuarantin disahkan negatif virus itu.
Wabak berkenaan sebelum ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa selepas menyebabkan tiga kematian dan menjangkiti sekurang-kurangnya 12 individu, selain satu lagi kes berkemungkinan.
Ketua Pengarah WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata tiada kes baharu dilaporkan sejak 25 Mei lalu.
“Hari ini, kontak terakhir individu yang terdedah kepada hantavirus di kapal persiaran MV Hondius menamatkan tempoh kuarantin, disahkan negatif dan sudah pulang ke rumah,” katanya dalam sidang media di Geneva.
“Kami dengan sukacitanya mengumumkan WHO menganggap wabak hantavirus ini sudah berakhir,” katanya.
Walaupun wabak itu kini tamat, WHO menegaskan usaha penyelidikan masih diteruskan bagi memahami lebih mendalam mengenai virus berkenaan serta pengajaran daripada insiden tersebut.
MV Hondius, kapal berbendera Belanda yang menjalankan ekspedisi kutub, memulakan pelayaran pada 1 April dari Ushuaia, Argentina, sebelum singgah di beberapa pulau terpencil di Lautan Atlantik Selatan termasuk Tristan da Cunha.
Kapal itu kemudian menuju ke Tenerife di Kepulauan Canary, Sepanyol, bagi memindahkan baki penumpang sebelum akhirnya berlabuh di pelabuhan Rotterdam, Belanda, pada 18 Mei.
Pada 30 Mei lalu, kapal tersebut dibenarkan kembali belayar selepas menjalani proses pembersihan dan pembasmian kuman menyeluruh.
Menurut Encik Tedros, lebih 650 kontak rapat dikenal pasti dan dipantau pihak berkuasa kesihatan di 33 negara dan wilayah sepanjang tempoh wabak tersebut.
Beliau berkata WHO kini menyelaras satu kajian melibatkan 21 negara bagi memahami bagaimana penyakit itu berkembang dan merebak.
“Kajian ini akan membantu pembangunan kaedah diagnostik, rawatan dan vaksin untuk menghadapi wabak pada masa depan,” katanya.
Hantavirus ialah virus jarang ditemui yang disebarkan melalui tikus dan haiwan mamalia kecil lain.
Setakat ini tiada vaksin atau rawatan khusus untuk penyakit itu.
Spesies Andes yang dikenal pasti dalam wabak MV Hondius merupakan satu-satunya strain hantavirus yang diketahui boleh merebak daripada manusia kepada manusia.
Sebelum ini dipercayai seorang penumpang dijangkiti virus tersebut ketika melancong di kawasan endemik di Argentina sebelum menaiki kapal berkenaan.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Argentina pada Jun lalu memaklumkan siasatan di sebuah lagi wilayah gagal menemui tikus pembawa virus itu.
Ketua Epidemik Berimpak Tinggi WHO, Cik Diana Rojas Alvarez, berkata wabak di atas MV Hondius boleh dianggap tamat kerana ia tidak lagi menimbulkan risiko kesihatan awam.
“Namun virus Andes dan hantavirus lain masih menjadi ancaman kesihatan awam di Amerika Selatan dan beberapa kawasan endemik lain,” katanya.
Beliau menegaskan pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi mengelakkan penularan baharu selain memastikan komuniti tempatan terlibat dalam langkah kesiapsiagaan dan pencegahan.
“Usaha berkaitan hantavirus perlu diteruskan dalam jangka panjang,” katanya.
WHO turut berharap insiden itu dapat mempercepat usaha negara anggota memuktamadkan bahagian terakhir Perjanjian Pandemik global yang masih belum lengkap.
Menurut Encik Tedros, perjanjian itu penting bagi memastikan dunia lebih bersedia menghadapi ancaman wabak dan pandemik pada masa depan. – Agensi berita.
