Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua penduduk S’pura di atas MV Hondius bebas hantavirus, diizin jalani kuarantin di rumah
Dua penduduk S’pura di atas MV Hondius bebas hantavirus, diizin jalani kuarantin di rumah
Dua penduduk S’pura di atas MV Hondius bebas hantavirus, diizin jalani kuarantin di rumah
Dua penduduk Singapura yang berada di atas kapal pelayaran yang dilanda wabak hantavirus terus menunjukkan keputusan negatif bagi penyakit itu, dan dibenarkan meneruskan kuarantin di rumah sehingga 6 Jun sekiranya mereka memilih berbuat demikian.
Ujian terkini mereka untuk virus itu pada 22 Mei menunjukkan keputusan negatif, termasuk bagi strain Andes yang bertanggungjawab terhadap wabak di atas kapal tersebut, kata Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times (ST).
Lelaki Singapura berusia 67 tahun dan penduduk tetap (PR) Singapura berusia 65 tahun itu telah diasingkan di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID) selepas pulang ke Singapura, sebagai sebahagian daripada tempoh pemantauan 42 hari yang disyorkan selepas pendedahan terakhir mereka kepada virus itu.
Kebanyakan kes hantavirus dijangka menunjukkan tanda-tanda jangkitan dalam tempoh ini.
Pendedahan terakhir kedua-dua lelaki itu kepada hantavirus adalah pada 25 April, apabila mereka menaiki penerbangan yang sama dengan seorang penumpang yang disahkan dijangkiti virus itu dari St Helena ke bandar Johannesburg di Afrika Selatan, selepas turun dari kapal MV Hondius.
Mereka pulang ke Singapura secara berasingan pada 2 Mei dan 6 Mei.
Kedua-duanya dibenarkan beralih ke kuarantin di rumah bagi 12 hari terakhir kuarantin mereka mulai 25 Mei, sekiranya mereka memilih berbuat demikian. CDA tidak mendedahkan sama ada mereka mengambil pilihan untuk pulang ke rumah.
Kedua-dua mereka dipantau setiap hari oleh CDA dan akan diuji semula untuk virus itu sebelum dibebaskan daripada kuarantin.
“Ini memastikan perlindungan kepada masyarakat dan selaras dengan penilaian risiko terkini,” kata CDA.
Kedua-dua lelaki itu berada di atas kapal pelayaran MV Hondius yang dilanda hantavirus ketika ia bertolak dari pelabuhan Ushuaia di Argentina pada 1 April, dan turun di pulau terpencil St Helena milik British pada 24 April.
Keesokan harinya, mereka menaiki penerbangan ke Johannesburg. Seorang wanita dalam penerbangan yang sama dan kemudian meninggal dunia telah disahkan dijangkiti penyakit itu.
Kedua-dua penduduk Singapura itu menunjukkan keputusan negatif bagi jangkitan hantavirus selepas kepulangan mereka, kata CDA pada 8 Mei.
Sebelum ini, CDA menguatkuasakan tempoh pemantauan 45 hari bagi pendedahan hantavirus.
Ini dipendekkan berikutan garis panduan terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mengesyorkan 42 hari kuarantin bagi kenalan berisiko tinggi dan pemantauan sendiri bagi kenalan berisiko rendah.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu telah merekodkan 13 kes yang disahkan berkaitan wabak tersebut, termasuk tiga kematian, sehingga 27 Mei.
“Bagi orang awam, termasuk mereka yang tidak terdedah di atas kapal atau melalui hubungan rapat dengan kes yang disahkan, kemungkinan keseluruhan jangkitan melanda mereka kekal rendah,” kata WHO dalam notis pada 28 Mei.
MV Hondius dibenarkan belayar semula selepas proses pembersihan dan pembasmian kuman pada 30 Mei.
