Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WHO: Kes campak lonjak lagi di Eropah

May 29, 2024 | 1:23 PM
campak
Sekurang-kurangnya 95 peratus kanak-kanak perlu divaksinasi sepenuhnya terhadap penyakit campak untuk mencegahnya daripada menjadi wabak. - Foto AFP

COPENHAGEN: Kes penyakit campak melonjak di seluruh Eropah buat tahun kedua berturut-turut dan dijangka melebihi jumlah tinggi yang direkodkan pada 2023, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mengeluarkan amaran itu pada 28 Mei.

Ia menyeru negara-negara di benua itu supaya meningkatkan usaha vaksinasi mereka.

Sebanyak 56,634 kes campak dan empat kematian didaftarkan dalam tempoh tiga bulan pertama 2024 di 45 daripada 53 negara yang membentuk rantau Eropah WHO, yang termasuk Asia Tengah.

Jumlah tersebut hanya kurang 5,000 kes daripada bilangan keseluruhan pada 2023, apabila 61,070 kes dan 13 kematian dilaporkan di 41 negara.

Ia juga 60 kali ganda lebih tinggi daripada 941 kes yang dilaporkan pada 2022.

“Kes campak di seluruh Eropah terus meningkat, dengan jumlah kes yang direkodkan untuk 2024 tidak lama lagi dijangka melebihi jumlah kes yang dilaporkan sepanjang 2023,” kata WHO dalam satu kenyataan.

Pengarah WHO Eropah, Dr Hans Kluge, berkata:

“Walaupun kadar imunisasi keseluruhan tinggi, saya menggesa semua negara supaya mengambil tindakan segera, dengan menyuntik vaksin buat mereka yang terdedah, merapatkan jurang imuniti dan sekali gus menghalang virus itu daripada merebak dalam mana-mana kelompok masyarakat.”

Campak disebabkan virus dan mudah merebak apabila seseorang bernafas, batuk atau bersin. Ia paling lazim dalam kalangan kanak-kanak, tetapi boleh menjejaskan sesiapa sahaja.

Gejala penyakit campak selalunya termasuk ruam, hidung berair, batuk dan mata berair. Komplikasinya boleh menjadi agak serius.

Sekurang-kurangnya 95 peratus kanak-kanak perlu diberi vaksin sepenuhnya terhadap penyakit itu untuk mencegahnya daripada menjadi wabak.

Hampir separuh kes yang direkodkan pada 2023 melibatkan kanak-kanak bawah usia lima tahun.

WHO berkata keadaan itu mencerminkan “pertambahan kanak-kanak yang terlepas vaksinasi rutin terhadap penyakit campak dan penyakit lain yang boleh dicegah dengan vaksin semasa pandemik Covid-19.

Ini ditambah dengan pemulihan perlahan dalam cakupan vaksinasi pada 2021 dan 2022.

WHO menyatakan wabak telah dilaporkan di 27 daripada 33 negara di mana penyakit itu dianggap telah dihapuskan.

Azerbaijan, Kyrgyzstan dan Kazakhstan adalah negara paling terjejas, dengan kadar kejadian masing-masing adalah 2,771, 2,148 dan 1,851 bagi setiap juta orang antara April 2023 dengan Mac 2024.

Austria satu-satunya negara Eropah Barat dalam kumpulan 10 teratas, dengan kadar kes 50.90 bagi setiap juta orang. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg