Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WHO: Percepat bantuan selepas gencatan senjata Gaza

AS$10 bilion diperlukan untuk pulihkan sistem kesihatan Gaza
Jan 17, 2025 | 2:34 PM
Encik Hamada Shaqoura, yang dahulunya seorang ‘blogger’ makanan, mengagihkan makanan kepada kanak-kanak selepas menyediakan hidangan untuk mangsa kehilangan tempat tinggal di Khan Yunis, selatan Jaluran Gaza pada 16 Januari 2025. 
Encik Hamada Shaqoura, yang dahulunya seorang ‘blogger’ makanan, mengagihkan makanan kepada kanak-kanak selepas menyediakan hidangan untuk mangsa kehilangan tempat tinggal di Khan Yunis, selatan Jaluran Gaza pada 16 Januari 2025.  - Foto AFP

GAZA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan pembiayaan bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas Israel dan Hamas mencapai perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan konflik selama 15 bulan.

Pengumuman ini dibuat pada sidang media maya pada 16 Januari oleh Dr Rik Peeperkorn, wakil WHO untuk Wilayah Palestin yang Diduduki.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat melaksanakan respons ini sendirian,” kata Dr Peeperkorn.

Beliau menambah bahawa negara anggota, penderma dan masyarakat global, termasuk sektor swasta, perlu menyokong keperluan kesihatan mendesak dan proses pembinaan semula jangka panjang sistem kesihatan Gaza.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, 600 trak bantuan kemanusiaan akan dihantar ke Gaza setiap hari bermula 19 Januari.

Namun, Dr Peeperkorn menyatakan cabaran besar masih ada, termasuk halangan keselamatan dan politik yang perlu dihapuskan bagi memastikan bantuan dapat dihantar tanpa halangan.

“Sekarang adalah masa untuk negara anggota dan penderma tampil dengan pembiayaan yang fleksibel bagi membolehkan respons segera dan berkesan ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan anggaran awal kos pemulihan sektor kesihatan di Gaza, iaitu lebih AS$3 bilion ($4.1 bilion) untuk tahun pertama dan mencapai AS$10 bilion dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menegaskan bahawa keadaan kesihatan di Gaza sangat kritikal dengan kurang separuh hospital masih beroperasi.

“Pemulihan ini akan menjadi usaha besar. WHO komited untuk menangani keperluan kesihatan mendesak rakyat Gaza sekarang dan selepas perjanjian ini dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas tetapi menyatakan ia datang terlambat untuk mereka yang telah kehilangan nyawa.

“Kami menyambut berita ini dengan kelegaan tetapi juga dengan kesedihan mendalam. Perdamaian adalah ubat terbaik. Biarkan proses penyembuhan bermula, bukan sahaja untuk Gaza tetapi juga untuk Israel,” tambah beliau.

Walaupun gencatan senjata dijangka bermula pada 19 Januari, WHO mendesak agar ia dilaksanakan dengan segera untuk membolehkan bantuan sampai ke Gaza yang musnah akibat perang.

“Akses pantas dan selamat adalah kunci untuk mempercepatkan penghantaran bantuan,” kata Dr Peeperkorn.

Mesir dilapor bersiap siaga untuk membuka semula pintu masuk Rafah bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza.

Sumber peringkat tinggi turut mendedahkan kesediaan Mesir untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan terbesar ke Jaluran Gaza.

Pintu masuk Rafah ditutup untuk penghantaran bantuan sejak Mei 2024, apabila tentera Israel mengambil alih kawalan di bahagian Palestin, tindakan yang dianggap tidak sah oleh Mesir.

Hal ini menyebabkan penghantaran bantuan Mesir ke Gaza melalui laluan itu dihentikan.

Dalam masa yang sama seramai 12 pesakit dari Gaza telah dipindahkan ke Eropah untuk menerima rawatan.

Diiringi 35 ahli keluarga, pesakit dari Gaza itu tiba di Albania, Perancis, Norway dan Romania semalaman untuk mendapatkan rawatan khusus di negara berkenaan.

“Perjanjian gencatan senjata ini menawarkan peluang untuk mempercepatkan pemindahan perubatan untuk lebih 12,000 orang, termasuk ramai kanak-kanak yang sangat memerlukan rawatan menyelamatkan nyawa di luar Gaza,” kata Dr Tedros. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg