STOCKHOLM: Pegawai kesihatan sejagat pada 16 Ogos mengesahkan jangkitan jenis baru virus cacar monyet atau mpox di Sweden dan mengaitkannya dengan wabak yang semakin meningkat di Afrika.
Ini merupakan tanda awal penularan di luar benua Afrika – sehari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penyakit itu sebagai kecemasan kesihatan awam sejagat.
Pegawai kesihatan Sweden memberitahu satu sidang akhbar bahawa pesakit itu dijangkiti ketika berada di Afrika dengan virus mpox jenis Clade Ib yang dikesan menjadi wabak baru-baru ini.
Pesakit berkenaan sedang menerima rawatan.
“Kemunculan kes di benua Eropah boleh merangsang penyebaran pesat penyakit cacar monyet di peringkat antarabangsa,” kata Profesor Lawrence Gostin, dari Georgetown Law di Washington, yang juga pakar kesihatan awam.
“Kes di Sweden berkemungkinan besar bermakna terdapat berpuluh-puluh kes lagi yang tidak dapat dikesan di Eropah,” tambahnya.
Dr Brian Ferguson dari Universiti Cambridge berkata kes melibatkan pengembara Sweden itu membimbangkan tetapi tidak menghairankan, memandangkan penularan wabak tersebut di Afrika.
WHO pada 14 Ogos mengisytiharkan wabak cacar monyet di Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam yang menimbulkan kebimbangan tertinggi di peringkat antarabangsa selepas kes di Republik Demokratik Congo merebak ke negara jiran.
Terdapat 27,000 kes dan lebih 1,100 kematian, terutama dalam kalangan kanak-kanak, di Congo sejak wabak itu bermula pada Januari 2023
Kumpulan vaksin sejagat, Gavi, menyatakan bahawa ia mempunyai sehingga $500 juta untuk dibelanjakan bagi memberi suntikan ke negara yang terjejas oleh wabak cacar monyet.
Kedua-dua pegawai Amerika Syarikat dan Canada berkata mereka belum mengesan sebarang kes setakat ini.
Clade Ib adalah varian baru yang endemik di Congo.
Clade Ib kelihatan lebih mudah merebak melalui hubungan rapat yang rutin, termasuk hubungan seks. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg