Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WHO, Saudi perkenal kad kesihatan digital jemaah haji

‘Kad Kesihatan Haji’ tidak hanya tingkat keselamatan jemaah tetapi juga beri impak jangka panjang kepada sistem kesihatan global
Oct 22, 2024 | 3:33 PM
Kad kesihatan digital Haji diperkenal bagi memastikan keselamatan dan kualiti penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada hampir 3 juta jemaah yang menunaikan Haji setiap tahun.
Kad kesihatan digital Haji diperkenal bagi memastikan keselamatan dan kualiti penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada hampir 3 juta jemaah yang menunaikan Haji setiap tahun. - Foto AFP

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan Arab Saudi telah melancarkan kerjasama digital kesihatan baru yang bertujuan mengembangkan inisiatif Kad Kesihatan Haji yang menyokong hampir 3 juta jemaah yang menunaikan ibadah haji setiap tahun.

Kad Kesihatan Haji dibangunkan menggunakan infrastruktur Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Global WHO dan menyediakan maklumat kritikal tentang kesihatan jemaah, termasuk keperluan ubat-ubatan, alergi, status imunisasi dan penyakit sedia ada, menurut kenyataan WHO pada 21 Oktober.

Pengarah Serantau WHO bagi Mediterranean Timur (EMRO), Dr Hanan Balkhy, berkata kerjasama antara WHO dan Arab Saudi untuk memperluas inisiatif Kad Kesihatan Haji ini akan meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan berjuta-juta jemaah haji.

“Dengan memanfaatkan penyelesaian kesihatan digital, kami bukan sahaja meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan, tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan di wilayah Mediterranean Timur dan di seluruh dunia,” katanya.

Kad ini memberi jemaah kawalan ke atas data kesihatan mereka, membolehkan mereka berkongsi maklumat penting dengan penyedia perkhidmatan kesihatan yang sah di Arab Saudi. Ini memastikan akses kepada rawatan berkualiti dan peribadi semasa mereka menunaikan ibadah haji.

Ketua Saintis WHO, Dr Jeremy Farrar, menjelaskan bahawa kerjasama ini adalah langkah penting dalam usaha WHO untuk membantu negara anggota meningkatkan akses kepada alat kesihatan digital yang selamat dan berfokus kepada individu.

Pada 2024, kira-kira 250,000 jemaah dari Indonesia, Malaysia dan Oman telah menerima Kad Kesihatan Haji sebagai sebahagian daripada ujian perintis.

Ujian itu membuktikan bahawa setiap negara mampu mengeluarkan versi nasional kad kesihatan ini berdasarkan standard global, sekali gus meningkatkan keselamatan dan mutu penjagaan kesihatan jemaah haji.

Kerjasama ini berlanjutan dengan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluaskan program kepada lebih banyak negara. Sokongan teknikal daripada rakan pelaksana digital kerajaan Saudi, LEAN, akan meningkatkan keselamatan data dan memastikan negara yang menyertai program ini dapat memanfaatkan teknologi digital dengan lebih berkesan.

Inisiatif Kad Kesihatan Haji tidak hanya meningkatkan keselamatan jemaah haji, tetapi juga memberi impak jangka panjang kepada sistem kesihatan global.

Dengan melibatkan lebih banyak negara dalam rangkaian digital kesihatan WHO, negara-negara dapat meningkatkan keupayaan sistem kesihatan mereka melalui teknologi digital.

Ini membuka peluang untuk kemajuan seperti e-preskripsi lintas sempadan, insurans kesihatan antarabangsa serta tele-perubatan, tambah kenyataan WHO.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg