Topik diikuti
Pergi ke BHkuWHO usul utamakan 3 rawatan Ebola lalui uji kaji
WHO usul utamakan 3 rawatan Ebola lalui uji kaji
WHO usul utamakan 3 rawatan Ebola lalui uji kaji
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengusulkan memberi keutamaan bagi tiga rawatan uji kaji bagi virus, Ebola Bundibugyo.
Ia termasuk MBP134 daripada syarikat, Mapp Biopharmaceutical; maftivimab daripada Regeneron; dan antiviral remdesivir daripada Gilead Sciences.
WHO menyatakan pada 28 Mei bahawa ubat dan vaksin tersebut perlu melalui ujian klinikal untuk mengumpul data tentang keberkesanannya.
Langkah itu diambil di tengah-tengah wabak berterusan di Republik Demokratik Congo (DRC), dengan kes turut dilaporkan di Uganda.
WHO menyatakan pada masa ini tiada vaksin atau terapi yang diluluskan khusus untuk penyakit virus melibatkan Bundibugyo.
Regeneron menyatakan bahawa bekalan maftivimab sudah berada di DRC, sekiranya WHO ingin menggunakannya untuk rawatan segera atau sebagai sebahagian daripada kajian.
Bagi pencegahan, ubat obeldesivir keluaran Gilead dikenal pasti sebagai pilihan utama untuk diberikan kepada individu yang telah terdedah kepada kes yang disahkan, walaupun keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana kontak rapat pesakit dapat dikesan.
Bagi vaksin pula, calon tunggal yang dikenali sebagai rVSV Bundibugyo, yang sedang dibangunkan oleh International AIDS Vaccine Initiative, dilihat sebagai yang paling menjanjikan.
Namun, ia dijangka belum tersedia untuk ujian dalam tempoh tujuh hingga sembilan bulan lagi.
Calon lain, ChAdOx1 Bundibugyo, yang dibangunkan oleh Universiti Oxford dan Serum Institute of India, boleh digunakan untuk ujian dalam masa dua hingga tiga bulan, walaupun data haiwan tambahan masih diperlukan.
WHO turut mengkaji kemungkinan penggunaan Ervebo milik Merck, satu-satunya vaksin Ebola yang dilesenkan, tetapi menyatakan ia tidak seharusnya digunakan di luar persekitaran penyelidikan memandangkan perlindungan terhadap virus Bundibugyo masih terhad dan belum kukuh.
Penasihat WHO turut mengesyorkan penilaian terapi gabungan menggunakan antibodi monoklonal bersama remdesivir.
WHO menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di Congo dan Uganda, bersama rakan kongsi termasuk Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Afrika), untuk mereka bentuk dan melaksanakan ujian klinikal mengikut piawaian etika yang ketat. – Reuters.
