Dunia tidak boleh leka atau lalai ketika berhadapan dengan ancaman pandemik seterusnya.

Walaupun krisis Covid-19 telah berlalu, risiko krisis pandemik lain masih ada, dengan kesannya mungkin lebih dahsyat.

Demikian ditekankan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, merujuk kepada pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (RDC) dan Uganda, sebagai satu kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa, begitu juga jangkitan hantavirus di wilayah lain.

“Ini adalah peringatan tepat pada masanya, bahawa ancaman penyakit berjangkit terus muncul dan berkembang,” katanya dalam acara mengenai kesediaan dan tindak balas pandemik sejagat yang diadakan di Geneva, Switzerland, pada 19 Mei.

Acara anjuran Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) Singapura, Institut Robert Koch dan WHO itu diadakan di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-79.

Menurut Encik Ong, memandangkan penerbangan moden membolehkan patogen merebak dengan lebih cepat, nod penerbangan utama harus “secara tekal dan bertanggungjawab” mengesan patogen baharu dan berkongsi penemuannya. 

Singapura adalah salah satu nod sedemikian, katanya, sambil menambah bahawa patogen baharu yang dikesan di negara ini berkemungkinan besar akan merebak dengan cepat ke seluruh rantau dan dunia.

“Apa yang boleh dipastikan oleh dunia ialah: Singapura akan berkongsi apa yang kami ketahui – secara bebas, cepat dan telus, tanpa sebarang syarat,” katanya.

Singapura telah membina perkongsian luas untuk berkongsi maklumat, dan Kementerian Kesihatan (MOH) negara ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi kerjasama kesihatan dengan Filipina sebagai sebahagian daripada acara WHA itu, kata Encik Ong.

MOH telah menandatangani perjanjian seumpama itu dengan Finland pada 19 Mei dalam bidang kerjasama seperti penjagaan masyarakat untuk warga emas dan teknologi dalam kesihatan, manakala CDA akan menandatangani MOU dengan Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Negara China, tambahnya.

Singapura turut menjadi tuan rumah kepada pusat sains data inisiatif sains sejagat, Inisiatif Sejagat untuk Perkongsian Semua Data Influenza (Gisaid), di Institut Bioinformatik Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), bagi menyokong operasi pemprosesan datanya.

Menurut Encik Ong, pengeluaran vaksin kekal sebagai jalan keluar daripada pandemik melibatkan patogen baharu.

Sejajar dengan itu, Singapura menyokong usaha Pakatan untuk Inovasi Kesiapsiagaan Wabak (Cepi), yang bertujuan membangun vaksin yang selamat dan berkesan dalam tempoh 100 hari selepas mengenal pasti ancaman sesuatu pandemik baharu.

Ini dilakukan melalui pertukaran teknikal dan kerjasama penyelidikan, serta sumbangan berterusan kepada gabungan itu, kata Encik Ong, sambil menambah, saintis di Singapura sedang menyelaras usaha penyelidikan dan pembangunan vaksin domestik dengan misi Cepi.

“Berdasarkan pengalaman kami dengan Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) dan Covid-19, kami menumpukan sumber kami untuk membangunkan vaksin menentang koronavirus,” katanya.

Dalam acara berasingan oleh Cepi pada 19 Mei, Encik Ong mengumumkan Singapura akan menyumbang AS$12 juta ($15.4 juta) kepada Cepi antara 2027 dengan 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cepi, Encik Richard Hatchett, berkata pelaburan sedemikian “membantu mengukuhkan pertahanan penyakit dunia supaya kita bersedia bertindak balas dengan cepat dan saksama terhadap ancaman virus yang muncul”.

Encik Ong menyatakan, laluan kawal selia yang lebih cepat dan dipercayai untuk vaksin diperlukan.

Semasa pandemik Covid-19, Singapura meluluskan vaksin melalui Laluan Akses Khas Pandemik, menggunakan bukti terbaik yang ada untuk membuat keputusan tepat pada masanya, kata beliau, sambil menambah, bahawa laluan sedemikian boleh diperluas di peringkat antarabangsa.

Daripada bergantung kepada satu pihak berkuasa kawal selia semasa pandemik, sebuah rangkaian pengawal selia nasional yang dipercayai boleh dibentuk.

Rangkaian sedemikian, ujarnya, boleh berfungsi seiring dengan proses sedia ada, seperti proses prakelayakan WHO. 

“Pada akhirnya, setiap bidang kuasa masih membuat keputusan sendiri, tetapi rangkaian itu dapat membantu mempercepatkan kerja, dan penilaiannya akan menjadi rujukan yang baik,” jelas Encik Ong.