Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wira kes tembakan di Pantai Bondi terima sumbangan hampir $2.6j

Dec 16, 2025 | 12:52 PM
Pantai Bondi,  wira, Ahmed al Ahmed
Pemimpin New South Wales, Encik Chris Minns, menziarahi Encik Ahmed al Ahmed, wira yang melucutkan senjata salah seorang penembak di Bondi Beach, di sebuah hospital di Sydney, Australia, pada 15 Disember. - Foto @CHRISMINNSMP X / REUTERS

SYDNEY: Sebuah laman mengumpul dana GoFundMe untuk wira yang menawan dan melucutkan senjata salah seorang penyerang di Pantai Bondi telah menerima sumbangan hampir AS$2 juta ($2.58 juta) selepas tindakan beraninya turut dipuji Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan jutawan dana kewangan, Encik Bill Ackman.

Rakaman luar biasa tindakan lelaki itu mula tular di media sosial pada 14 Disember, sejurus selepas dua lelaki, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai bapa dan anak, mula menembak orang ramai pada hari pertama sambutan Yahudi, Hanukkah.

Sehingga 15 orang terbunuh dalam serangan terburuk dalam sejarah Australia itu. Bapa pasangan itu juga ditembak mati oleh polis.

Wira insiden berdarah itu, Encik Ahmed Al Ahmed, seorang bapa kepada dua anak berusia 43 tahun dari selatan Sydney, tiba di Australia dari Syria pada 2006, menurut laporan media tempatan.

Beliau turut mengalami empat hingga lima luka tembakan semasa bergelut dengan salah seorang lelaki bersenjata itu dan dijangka menjalani beberapa pembedahan, lapor stesen penyiar Australia pada 16 Disember.

Dalam rakaman telefon bimbit yang tular itu, salah seorang penyerang berdiri berhampiran sebatang pokok dan melepaskan tembakan rambang.

Encik Ahmed yang berjongkok tiba-tiba muncul daripada belakang sebuah kereta dan menerpa dari belakang dan merampas senjata dari tangan penyerang.

Presiden Trump berkata pada 14 Disember bahawa Encik Ahmed telah menyelamatkan banyak nyawa dan turut melahirkan “rasa hormat yang tinggi” kepadanya.

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, turut memuji keberanian Encik Ahmed, dan orang ramai yang turut membantu merawat mangsa sejurus selepas kejadian tembakan itu.

Pemimpin New South Wales, Encik Chris Minns, melawat Encik Ahmed di hospital pada 15 Disember, menggelarkannya sebagai “wira sejati”, sambil menambah lebih banyak nyawa akan terkorban jika tidak kerana keberaniannya.

Encik Ackman, pengasas Pershing Square Capital Management, menyifatkan Encik Ahmed sebagai “wira yang berani” dan berkata firma dana lindung nilainya akan mewujudkan program ganjaran untuk mereka yang telah melakukan perbuatan serupa. Beliau mendermakan AS$99,999.

Lebih daripada 33,000 orang telah menyumbang AS$1.94 juta setakat ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg