SAN FRANCISCO: Presiden China, Encik Xi Jinping, pada Selasa memulakan lawatan pertamanya ke Amerika Syarikat dalam tempoh enam tahun sejurus selepas Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken menyindir Beijing dengan menekankan peri perlu menegakkan kebebasan dan kedaulatan undang-undang.
Beliau yang melakukan lawatan pertama ke Amerika sejak 2017, dijadualkan bertemu Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden di lokasi yang tidak didedahkan di San Francisco pada pagi Rabu waktu Amerika dan kemudian menghadiri sidang puncak tahunan forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).
Pertemuan kedua-dua pemimpin adalah yang pertama dalam setahun dan sekali gus membuka peluang untuk mengurangkan pergeseran dalam apa yang dilihat ramai sebagai persaingan paling berbahaya di dunia, kata pegawai Amerika.
Encik Xi melambaikan tangan dari atas tangga pesawat Air China dan kemudian turun menemui pegawai Amerika yang menyambut ketibaannya termasuk Setiausaha Perbendaharaan, Cik Janet Yellen dan duta Amerika ke China, Encik Nicholas Burns.
Beliau kemudian menaiki limousin Cina Hongqi, atau ‘Bendera Merah’, dan berlepas dari lapangan terbang ke pusat bandar.
Kurang dua jam sebelum itu, Encik Blinken yang berucap di hadapan menteri-menteri 21 anggota Apec, menegaskan bahawa Amerika percaya kepada “rantau di mana ekonomi bebas memilih laluannya sendiri... di mana barangan, idea, individu, mengalir secara sah dan bebas”.
Encik Blinken tidak menyebut China dalam ucapannya, tetapi bahasanya bergema retorik Amerika dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana Washington menuduh Beijing membuli negara-negara kecil di Indo-Pasifik dan cuba melemahkan apa yang Amerika dan sekutunya sifatkan sebagai orde “berasaskan peraturan” sedia ada.
Wakil perdagangan Amerika, Cik Katherine Tai, yang turut bersama Encik Blinken membuka sesi menteri Apec, berkata mesyuarat San Francisco diadakan pada masa “ketidakpastian dan cabaran besar” di rantau itu.
Ini termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, rantaian bekalan yang rapuh dan krisis iklim yang semakin teruk.
Terdahulu, Encik Biden berkata bahawa matlamatnya dalam perbincangan dengan Encik Xi adalah untuk memperbaiki hubungan dengan China selepas tempoh hubungan yang tegang.
Encik Biden berkata beliau akan berusaha menyambung semula komunikasi biasa antara dua kuasa besar itu, termasuk hubungan ketenteraan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg