Topik diikuti
Pergi ke BHkuXi, Trump, dan Putin akan bincangkan ‘keamanan dunia’ dalam temuan tiga hala
Pertemuan dijangka di luar sidang kemuncak Apec pada 19 Nov di Shenzhen
Xi, Trump, dan Putin akan bincangkan ‘keamanan dunia’ dalam temuan tiga hala
BEIJING: Beijing mengesahkan pada 16 November bahawa Presiden China, Encik Xi Jinping, bersama rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat dan Russia, akan membincangkan “keamanan dunia” apabila mereka mengadakan sidang kemuncak tiga hala pertama mereka pada 19 November di bandar Shenzhen, selatan China.
“Pada 19 November, Encik Xi akan mengadakan pertemuan ketua negara China-Russia-Amerika bersama Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Shenzhen,” kata kementerian luar negeri China dalam kenyataan ringkas pada 16 November.
Ketiga-tiga pemimpin itu akan mengadakan “perbincangan mendalam mengenai usaha memelihara keamanan dunia serta menggalakkan kestabilan strategik dalam hubungan antara kuasa-kuasa besar”, kata jurucakap kementerian luar China, Cik Mao Ning, dalam satu taklimat media, beberapa jam selepas Beijing mengesahkan pertemuan tersebut.
“Ia akan menjadi sesuatu yang penting bagi membawa pembaharuan,” tambah beliau.
Pertemuan itu dijangka berlangsung di luar sidang kemuncak pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada 18 dan 19 November.
Kremlin dan Rumah Putih sebelum ini telah mengesahkan pertemuan tiga pihak tersebut.
Encik Trump mahu membincangkan pengurangan senjata nuklear dan turut dijangka membangkitkan isu peperangannya di Iran. Namun, beliau tidak dijangka membincangkan peperangan Russia di Ukraine, kata pegawai Amerika.
Presiden Jerman, Encik Frank-Walter Steinmeier, dalam satu pertemuan baru-baru ini, berkata Encik Xi menunjukkan rasa “tidak senang hati” apabila idea untuk perbincangan tiga hala yang turut merangkumi isu Ukraine dibangkitkan.
“Beliau menegaskan secara jelas bahawa ini adalah konflik Eropah, di mana pihak Eropah juga perlu turut serta di meja rundingan,” kata Encik Steinmeier kepada penyiar Jerman, ARD.
Mengenai perlucutan senjata nuklear, China sejak sekian lama menegaskan bahawa Amerika dan Russia perlu mengurangkan simpanan senjata nuklear mereka yang besar terlebih dahulu, sebelum China bersetuju untuk berunding mengenai simpanan senjatanya sendiri. – AFP.