Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zelensky sedia tukar askar Korea U dengan tawanan Ukraine

Jan 13, 2025 | 11:38 AM
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menyiarkan video di X yang menunjukkan soal siasat ke atas dua lelaki yang dikatakan sebagai askar Korea Utara.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, menyiarkan video di X yang menunjukkan soal siasat ke atas dua lelaki yang dikatakan sebagai askar Korea Utara. - Foto TANGKAP LAYAR PLATFORM X VOLODYMYR ZELENSKY

KYIV: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata pihaknya bersedia menyerahkan askar Korea Utara kepada pemimpin mereka, Encik Kim Jong Un, jika beliau boleh memudahkan pertukaran mereka dengan warga Ukraine yang ditawan di Russia.

“Selain askar pertama yang ditangkap dari Korea Utara, sudah pasti akan ada lebih banyak lagi. Hanya menunggu masa sebelum tentera kita berjaya menangkap yang lain,” kata Encik Zelensky di wadah media sosial X.

Menurutnya, Ukraine telah menawan dua warga Korea Utara di wilayah Kursk Russia, kali pertama Ukraine mengumumkan penangkapan tentera Korea Utara hidup-hidup sejak mereka menyertai perang hampir tiga tahun pada musim luruh 2023.

Penilaian Ukraine dan Barat menunjukkan terdapat sekitar 11,000 tentera dari Korea Utara, sekutu Russia, telah ditempatkan di wilayah Kursk untuk menyokong tentera Moscow.

Namun, Russia tidak mengesahkan mahupun menafikan kehadiran tentera Korea Utara itu.

Encik Zelensky berkata tentera Russia dan Korea Utara telah mengalami kekalahan besar.

“Ukraine sedia menyerahkan tentera Kim Jong Un kepadanya jika beliau boleh mengatur pertukaran mereka dengan tentera kita yang ditahan di Russia,” tambahnya.

Beliau menyiarkan video pendek yang menunjukkan soal siasat yang dijalankan ke atas dua lelaki yang dikatakan sebagai tentera Korea Utara.

Seorang daripada mereka berbaring di atas katil dengan tangan berbalut, manakala seorang lagi duduk dengan berbalut di rahangnya.

Salah seorang lelaki itu berkata melalui jurubahasa bahawa beliau tidak tahu yang dirinya bertempur melawan tentera Ukraine dan mendakwa diberitahu beliau sedang menjalani latihan.

Beliau mendakwa bersembunyi di tempat perlindungan semasa serangan berlaku dan ditemui beberapa hari kemudian.

Menurutnya, jika beliau diarah pulang ke Korea Utara, beliau akan melakukannya tetapi beliau bersedia untuk tinggal di Ukraine jika diberi peluang.

Agensi berita, Reuters, tidak dapat mengesahkan video tersebut.

“Salah seorang daripada mereka (askar) menyatakan hasrat untuk tinggal di Ukraine, seorang lagi sedia kembali ke Korea,” kata Encik Zelensky dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Beliau berkata bagi askar Korea Utara yang enggan pulang, mungkin terdapat pilihan lain dan “mereka yang menyatakan hasrat untuk membawa keamanan dengan menyebarkan kebenaran tentang perang ini dalam (bahasa) Korea akan diberi peluang itu”.

Namun, beliau tidak memberikan butiran khusus mengenai tawaran tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg