Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perisikan AS: Tiada risiko serangan nuklear walau Putin beri amaran

Nov 28, 2024 | 12:18 PM
Russia mungkin meluaskan kempen sabotaj terhadap sasaran Eropah untuk meningkatkan tekanan ke atas negara Barat berhubung sokongannya terhadap Kyiv, kata pegawai Amerika Syarikat.
Russia mungkin meluaskan kempen sabotaj terhadap sasaran Eropah untuk meningkatkan tekanan ke atas negara Barat berhubung sokongannya terhadap Kyiv, kata pegawai Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

NEW YORK/WASHINGTON: Keputusan Amerika Syarikat membenarkan Ukraine menembak senjata buatannya jauh ke wilayah Russia tidak meningkatkan risiko serangan nuklear, walaupun Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, telah memberi amaran mengenainya.

Demikian menurut lima sumber yang biasa dengan perisikan Amerika.

Bagaimanapun, Russia mungkin meluaskan kempen sabotajnya terhadap sasaran Eropah bagi meningkatkan tekanan ke atas negara Barat.

Ia berhubung sokongan mereka kepada Kyiv, kata dua pegawai kanan, seorang penggubal undang-undang dan dua pembantu Kongres dalam taklimat tentang perkara itu.

Satu siri penilaian perisikan sepanjang tujuh bulan lalu menyimpulkan peningkatan penggunaan nuklear tidak mungkin berlaku ekoran keputusan melonggarkan sekatan ke atas penggunaan senjata Amerika oleh Ukraine.

Pandangan itu tidak berubah berikutan langkah Presiden Amerika, Encik Joe Biden, mengubah pendirian negaranya mengenai penggunaan senjata itu, kata sumber tersebut, yang enggan namanya disiarkan.

“Penilaian itu tekal, Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera Darat (ATACMS) tidak akan mengubah perkiraan nuklear Russia,” kata seorang pembantu Kongres yang memberi taklimat mengenai perisikan tersebut.

Menurut penganalisis, pelancaran peluru berpandu balistik baru Russia ke atas Ukraine pada 21 November, yang dikatakan bagi memberi amaran kepada Washington dan sekutu Eropahnya, tidak mengubah kesimpulan itu.

Salah seorang daripada lima pegawai Amerika itu berkata sementara Washington menilai Russia tidak akan berusaha meningkatkan perang lebih luas dengan kuasa nuklearnya, ia akan cuba memadankannya dengan apa yang dilihatnya sebagai peningkatan pelibatan Amerika.

Pegawai itu berkata melancarkan peluru berpandu baru itu sebahagian daripada usaha.

Pegawai Amerika berkata perisikan itu membantu membimbing perdebatan yang sering berpecah belah awal sebelum ini dalam pentadbiran Encik Biden tentang sama ada penggunaan senjata Amerika oleh Ukraine berbaloi dengan risiko menimbulkan kemarahan Encik Putin.

Pegawai pada mulanya menentang langkah sedemikian, dengan memberi alasan kebimbangan yang meningkat dan ketidakpastian tentang bagaimana Encik Putin akan bertindak balas.

Beberapa pegawai, termasuk di Rumah Putih, Pentagon dan Jabatan Negara, bimbang tindak balas terhadap askar Amerika dan kakitangan diplomatik serta serangan ke atas sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Yang lain secara khusus bimbang tentang peningkatan nuklear.

Encik Biden mengubah fikirannya kerana bimbang pelibatan Korea Utara dalam perang itu, kata pegawai itu lagi.

Beberapa pegawai kini percaya kebimbangan peningkatan perang, termasuk penggunaan senjata nuklear, adalah berlebihan, tetapi menekankan bahawa keadaan keseluruhan di Ukraine masih bahaya.

Namun, peningkatan penggunaan nuklear tidak menjadi persoalan.

Keupayaan Russia membalas dendam terhadap negara Barat secara tersembunyi masih menjadi kebimbangan.

“Tindak balas bercampur-campur Russia adalah satu kebimbangan,” kata Pengarah Kajian Eurasia, Russia dan Eropah Timur di Universiti Georgetown, Cik Angela Stent. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg