Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Fahami kesan turun naik inflasi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Fahami kesan turun naik inflasi

Jul 22, 2018 | 05:30 AM



Kos kehidupan sering menjadi isu pokok yang menjadi keprihatinan rakyat. Bagaimanakah inflasi dikira di Singapura dan apakah faktor yang boleh menjejas inflasi? Apakah cara mengawal kos kehidupan tinggi? NORHAIZA HASHIM (norhaiza@sph.com.sg) dan ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) melaporkan.



KENAIKAN kos kehidupan menjadi keprihatinan rakyat menjadi isu yang dikemukakan beberapa Anggota Parlimen (AP) di Parlimen minggu lalu.



Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing membentangkan lapan strategi bagi memastikan kos barangan dan perkhidmatan di Singapura kekal dimampui.



Aspirasi rakyat dan keupayaan mereka memenuhi keperluan itu kadangkala menimbulkan tanggapan bahawa kos kehidupan meningkat.



Akur dengan keprihatinan mereka, beliau sedar rakyat Singapura mempunyai aspirasi menikmati kehidupan lebih baik bagi diri mereka dan anak-anak mereka tetapi pada masa sama, menghadapi tekanan mencapai pertumbuhan pendapatan dalam sekitaran ekonomi yang tidak menentu.



"Selain mewujudkan peluang bagi rakyat Singapura menikmati pertumbuhan gaji sebenar bagi memenuhi aspirasi mereka, pemerintah komited membantu rakyat Singapura agar rakyat dapat memanfaatkan sepenuhnya duit peluh mereka,'' kata Encik Chan.



Apakah Inflasi?



Lima tahun lalu, $10 boleh membeli empat bungkus nasi ayam berharga $2.50.



Tetapi, kini $10 boleh membeli hanya dua bungkus kerana harga nasi ayam meningkat kepada $4.50.



Perubahan harga itu mencerminkan kenaikan inflasi yang menjejas kos kehidupan.



Indeks Harga Pengguna (CPI) mengukur perubahan harga dalam sebakul produk dan perkhidmatan yang sering dibeli oleh keluarga. Ia termasuk makanan, pakaian, perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan riadah.



Setiap kategori itu mempunyai penekanan atau weightages tersendiri. Misalnya, makanan mewakili 21.7 peratus dari indeks itu dan di dalam kategori makanan, roti dan bijirin mewakili 1.41 peratus, ikan dan makanan laut 1.18 peratus dan seterusnya.



CPI telah meningkat 0.6 peratus setahun secara purata bagi lima tahun mendatang bagi semua barangan. Kadar itu lebih rendah dari 4 peratus dari 2007 hingga 2012.



Mei lalu, CPI meningkat 0.4 peratus - melebihi kenaikan 0.1 peratus pada April, kata Jabatan Statistik Singapura (DOS).



Perangkaan itu dijangka kekal rendah tahun ini, dengan jangkaan inflasi akan mencecah antara 0.5 peratus dengan 1 peratus.



Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memantau dan menganalisis CPI bagi semua barangan dan inflasi utama.



MAS mengeluarkan perangkaan CPI setiap bulan dan boleh diperolehi di laman MAS.



Inflasi Utama



Inflasi utama adalah salah satu kayu ukur petanda inflasi lebih tepat yang dipantau dengan teliti oleh MAS.



"Mengapa ia penting? Ia penting untuk memahami bahawa inflasi utama MAS tidak mengambil-kira penginapan dan pengangkutan jalan raya swasta - dua barangan dan perkhidmatan yang amat tinggi dan tidak dikira rakyat Singapura biasa sebagai sebahagian perbelanjaan harian mereka,'' kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Kajian Forex Pasaran Global Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat.



Penginapan boleh terpengaruh oleh harga kondominium atau rumah berhalaman yang berubah dan pengangkutan jalan raya swasta boleh terjejas oleh harga kereta, yang naik disebabkan pelaksanaan dasar melalui Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).



Mei lalu, inflasi utama meningkat 1.5 peratus dari kenaikan 1.3 peratus pada April.



Faktor Jejas Inflasi



Oleh kerana Singapura mendapatkan bahan mentah dari luar negara, inflasi Singapura juga dipengaruhi dengan inflasi yang diimport dari luar negara. Misalnya, bekalan bahan makanan dari luar negara boleh berkurangan akibat bencana alam seperti banjir atau kemarau, menyebabkan harga bahan makanan itu meningkat.



Inflasi diimport merupakan sesuatu di luar kawalan lantas, untuk mengurangkan tekanan harga, satu cara ialah mendapat beberapa pembekal dan tidak bergantung kepada satu pembekal sahaja.



MAS dan MTI, misalnya, menjangkakan inflasi yang diimport meningkat disebabkan kenaikan harga komoditi makanan dan minyak sejagat.



"Tekanan inflasi yang diimport meningkat disebabkan kenaikan harga minyak dan mata wang setempat yang agak lemah. Tekanan inflasi dari luar itu akan menjejas harga domestik bermula separuh kedua tahun ini,'' kata pakar ekonomi kanan DBS, Encik Irvin Seah.



Selain inflasi diimport, inflasi domestik juga boleh meningkat sejajar dengan pertumbuhan gaji setempat dan permintaan domestik.



Perubahan harga barangan dan perkhidmatan bukan satu-satunya dimensi dalam mengukur kos kehidupan, kata Encik Chan.



Beliau berkata aspirasi individu dan keupayaan mereka memenuhi aspirasi itu, juga menjejas tanggapan mereka mengenai kos kehidupan.



Menerangkan antara lapan strategi dibentangkan Encik Chan bagi memastikan kos barangan dan perkhidmatan kekal terkawal, Encik Saktiandi berkata ekonomi Singapura harus kekal berdaya saing.



"Cara terbaik membantu pekerja menghadapi pertumbuhan gaji yang rendah atau membeku ialah melengkapi mereka dengan kemahiran baru bagi mengambil pekerjaan baru. Skim seperti Adapt and Grow boleh membantu pekerja,'' katanya.



Satu lagi strategi ialah dengan menguruskan kekuatan dolar Singapura agar dapat mengawal inflasi yang diimport, ujar Encik Saktiandi, yang juga AP (GRC Bishan-Toa Payoh).



Dasar kewangan MAS berdasarkan kadar tukaran mata wang boleh membantu dalam mengekalkan kuasa membeli rakyat.



Untuk mengelak dari bergantung dari satu sahaja pembekal, negara ini juga perlu mempelbagaikan bekalan dari makanan, air hingga bahan mentah agar kita tidak terperangkap apabila pembekal sewenang-wenangnya meningkatkan harga barangan, tambah Encik Saktiandi.




PANDUAN KURANGKAN KOS SARA HIDUP



KOS sara hidup memang sudah meningkat berbanding 5 atau 10 tahun lalu.



Tetapi banyak cara dan usaha yang boleh dilakukan untuk para pengguna menguruskan situasi ini, kata pakar pengurusan kewangan. Menurut Encik Saiful Nizam Jemain, Pengurus Pusat Penasihat Hutang Angkatan Karwayan Islam (AMP), pengurusan kewangan dan celik kewangan adalah penting untuk semua orang agar mereka dapat mengurus kewangan di tengah-tengah kos sara hidup yang meningkat.



"Dengan sentiasa memastikan kewangan anda dalam keadaan baik, membolehkan anda membuat penyesuaian apabila kos sara hidup meningkat dengan tiba-tiba atau mendadak, misalnya, tarif elektrik melambung.



"Ini khususnya bagi mereka yang sudah mengoptimakan penggunaan air, elektrik dan gas, dan mendapati sukar untuk mengurangkan penggunaannya lebih lanjut," ujarnya.



Berikut adalah beberapa tip atau panduan yang boleh dibuat setiap kali anda melangkah ke pasaraya, keluar makan atau 'tergoda' untuk membeli-belah.



Buat senarai keperluan dapur



Sebelum keluar ke pasar atau pasaraya, buat senarai mingguan barangan yang diperlukan.



Dengan cara ini, anda dapat mengawal diri, dengan membeli barangan yang benar-benar diperlukan oleh keluarga anda.



Apabila di pasar atau pasaraya, elakkan daripada mengambil barangan yang tidak ada dalam senarai anda - justeru bil anda terkawal dan boleh susut, jika anda mengelakkan diri daripada membeli barangan secara mengikut nafsu atau tanpa dirancang.



Beli barangan 'housebrand'



Jika ke pasaraya, anda boleh dapatkan jenama pasaraya itu sendiri bagi barangan keperluan seperti beras dan gula. Tinjauan kami menunjukkan harga barangan housebrand seperti Sheng Siong, Giant dan NTUC FairPrice, membolehkan seseorang jimat sekurang-kurangnya 10 peratus bagi barangan keperluan utama, berbanding jenama lain.



Rajin cari diskaun dan promosi



Setiap minggu, pasaraya setempat ada sahaja menawarkan kupon promosi yang menawarkan nilai lebih baik bagi barangan makanan seperti daging, roti dan barangan keperluan lain.



Pegawai Kes Skim Keluarga Angkat dan Belia, Khidmat Keluarga AMP, Cik Nurdiyanah Mohd Nassir menasihatkan: "Cari tawaran di pasaraya dan dapatkan makanan segar daripada pasar basah/biasa, yang harganya lebih murah."



Rancang hidangan bagi waktu makan



Dengan merancang waktu makan setiap minggu, anda boleh mengelak pembaziran makanan, kata Cik Nurdiyanah. "Menambah buahan dan sayuran dalam diet pula akan membantu tubuh berfungsi secara optima. Vitamin dan zat yang diperolehi akan membaiki kesihatan dan mengurangkan kos perubatan pada jangka panjang."



Selain itu, elak snek atau minuman bertin yang tidak berkhasiat dan tidak berbaloi dengan wang yang dibelanjakan," kata beliau



Nikmati kegiatan beriadah percuma



Banyak tempat menarik yang percuma di merata Singapura yang ibu bapa boleh bawa anak-anak mereka - seperti tempat permainan atau taman, bagi kegiatan riadah, daripada hanya meluangkan masa menonton televisyen atau bermain telefon. "Ibu bapa juga boleh memuat turunkan aplikasi yang menawarkan promosi atau diskaun seperti Fave atau mendapatkan maklumat tentang kegiatan percuma yang dianjurkan oleh kelab masyarakat atau pusat khidmat keluarga," saran Cik Nurdiyanah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >