Subuh
5:30
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Ekonomi & Kerja3

Peniaga titi cabaran

Apr 21, 2020 | 05:30 AM

PENGASAS syarikat Fastartup, Encik Fairus Dasimin, tidak menang tangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, setelah langkah ketat mengekang penularan Covid-19 menyebabkan banyak perniagaan sedar yang mereka perlu meluaskan jangkauan dalam talian.

Beliau, yang menyediakan khidmat pemasaran digital dan reka bentuk grafik, dalam masa beberapa minggu lalu telah menerima banyak pertanyaan daripada syarikat dalam pelbagai industri termasuk keselamatan, kewangan dan perdagangan.

"Kami sedang melihat kenaikan mendadak dalam permintaan bagi pembangunan laman web dan pemasaran media sosial, untuk menjadi kad bisnes digital kepada perniagaan mereka," kata Encik Fairus, yang menubuhkan syarikatnya pada 2013.

"Kebanyakan pemilik perniagaan sedar yang peluasan ke dalam talian adalah satu-satunya pilihan mereka untuk bertahan dalam ketidaktentuan ekonomi ini," tambahnya.

Dalam masa yang penuh ketidakpastian kini akibat wabak Covid-19, Encik Fairus berkata beliau tidak boleh terlalu memilih dan menerima sahaja projek yang datang, walaupun kebanyakannya perlu diselesaikan dengan segera.

Memberi contoh, beliau berkata projek reka bentuk laman web, yang sebelum ini diberi tiga hingga empat minggu untuk diselesaikan, kini perlu disiapkan dalam masa seminggu bagi membolehkan perniagaan membangunkan kehadiran digital mereka secepat mungkin.

"Kami tidak boleh memilih kerana kami tidak dapat meramalkan permintaan bagi khidmat kami dalam beberapa bulan akan datang.

"Kami percaya dengan kejayaan bersama - apabila klien kami berkembang maju, begitu juga bagi kami. Buat masa ini kami cuma melakukan yang terbaik mungkin," katanya.

Berpandukan pegangan itu, Encik Fairus kini turut giat berusaha menyokong klien daripada sektor makanan dan minuman (F&B) yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

Syarikatnya dalam tempoh lima tahun lalu rata-rata bekerjasama dengan klien dalam sektor tersebut, menyediakan khidmat pemasaran digital untuk mengembangkan dan meningkatkan pendapatan jualan.

"Covid-19 telah menyebabkan kemerosotan dalam pendapatan bagi kebanyakan perniagaan dan kami perlu melihat semula kempen digital kami untuk memenuhi sentiman pasaran.

"Sebagai contoh, dengan larangan makan di restoran dan kafe, kami perlu menyokong klien F&B kami untuk menawarkan pilihan penghantaran dan makanan yang dibungkus kepada pelanggan.

"Ini boleh menjadi sesuatu yang agak mencabar khususnya bagi restoran yang tidak pernah mengambil laluan ini. Ia juga boleh menyebabkan kos tinggi dan cabaran logistik," katanya.

Walaupun memakan masa, Encik Fairus berkata inisiatif baru yang diperkenalkan amat berbaloi, kerana ia akan membantu klien mengekalkan bilangan kakitangan mereka dan tidak perlu membuang pekerja.

Untuk lebih menyokong sektor itu, beliau berusaha menyenaraikan tawaran juadah halal oleh gerai penjaja, kafe atau restoran, di Telegram di bawah kumpulan bernama SG Halal Deals.

Menurutnya, senarai itu bukan hanya membantu pelanggan mudah mendapat maklumat tentang tawaran hebat, bahkan juga membantu pemilik F&B untuk menjangkau kepada Fastartup untuk membantu menyebarkan tawaran mereka.

"Ini adalah masa untuk menyumbang kembali dan membantu perniagaan khususnya dalam sektor F&B. Tanpa pelanggan yang datang ke kedai, adalah sukar untuk mereka menawan pasaran dengan pilihan yang luas melalui GrabFood, Deliveroo dan Foodpanda.

"Selain itu, dengan lebih banyak perniagaan F&B menjadi digital, ini bermakna perniagaan perlu menawarkan tawaran hebat untuk menarik pelanggan membeli daripada mereka. Ruang digital boleh menjadi sesak lebih-lebih lagi apabila semua sedang cuba mendapatkan perhatian.

"Dengan dilema ini, kami menubuhkan wadah percuma SG Halal Deals untuk mengumpulkan tawaran halal terbaik setiap hari," kata Encik Fairus.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian