Ron Sim mohon senarai syarikatnya V3 di Hong Kong

SYARIKAT perniagaan kesihatan OSIM International, yang dikeluarkan dari senarai pasaran saham Singapore Exchange Ogos lalu, kini memohon untuk disenaraikan di pasaran saham Hong Kong tetapi dengan nama baru V3.

Dalam membuat permohonan itu semalam, V3 disifatkan sebagai sebuah syarikat Asia dalam perniagaan gaya hidup dan kesihatan.

Pasukan pengurusannya diketuai oleh Ron Sim, yang merupakan pengasas Osim, pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutifnya.

V3, yang sebelum ini dikenali sebagai Vision Three Pte Ltd, merupakan syarikat yang digunakan Encik Sim membuat tawaran tunai untuk membeli semua saham tidak dimilikinya agar beliau dapat menjadikan Osim syarikat privet.

Osim lebih dikenali sebagai syarikat yang menjual kerusi urut, selain mengedarkan makanan tambahan kesihatan di kedai GNC dan RichLife, serta memiliki jenama teh TWG. - BT