Yang terkaya di dunia bertambah kaya pada 2016

BEIJING: Golongan terkaya di dunia mengakhiri 2016 dengan AS$237 bilion ($343.2 bilion) lebih kaya daripada awal tahun ini, disebabkan data ekonomi mengecewakan dari China, undi Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah dan pemilihan Encik Donald Trump sebagai presiden baru Amerika Syarikat.

Namun, jutawan China mengalami pertumbuhan kekayaan negatif buat kali pertama sejak penubuhan Indeks Bloomberg lima tahun lalu.

Tahun ini, golongan terkaya China kehilangan AS$11 bilion di tengah-tengah kemerosotan dalam indeks Shanghai Shenzhen CSI 300 dan kejatuhan 7 peratus mata wang yuan berbanding dolar Amerika.

Warren Buffett mengetuai kumpulan orang yang paling banyak menambah kekayaan mereka tahun ini, lapor Bloomberg.

Kekayaan Buffett bertambah AS$11.8 bilion apabila firma pelaburannya, Berkshire Hathaway, menyaksikan saham syarikat penerbangan dan perbankannya melambung selepas kemenangan mengejut Encik Trump pada Nov 8.

Encik Buffett, yang berjanji akan memberi sebahagian kekayaannya kepada badan amal, menderma AS$2.6 bilion saham Berkshire Hathaway Julai lalu.

Beliau kembali menjadi orang kedua terkaya di dunia dua hari selepas kemenangan Encik Trump, yang menambah kekayaannya sebanyak 19 peratus tahun ini kepada AS$74.1 bilion.

Bill Gates kekal menjadi orang terkaya di dunia sepanjang tahun inbi dengan harta sebanyak AS$91.5 bilion.

Amancio Ortega, orang terkaya di Eropah dan pengasas rangkaian pakaian Zara, berada di tempat kedua bagi sebahagian besar tahun ini sehingga beliau kalah kepada Encik Buffett pada November.

Encik Ortega, yang kehilangan AS$1.7 bilion tahun ini, berada di tempat ketiga dengan AS$71.2 bilion.

Hartawan Perancis Bernard Arnault menambah AS$7.1 bilion kepada kekayaannya tahun ini untuk menduduki tempat keempat dengan AS$38.9 bilion. Syarikat LVMH Moet Hennessy Louis Vuitton SE beliau berkata pasaran barangan mewah China sedang bertambah baik.

Kekayaan hartawan minyak Harold Hamm bertambah AS$8.4 bilion menjadi AS$15.3 bilion, membuat beliau menjadi orang kelima terkaya di dunia.

Sedang kemenangan Encik Trump membantu menambah kekayaan golongan terkaya di Amerika, kesannya tidak demikian bagi rakan mereka di luar negara itu.

Mereka juga terjejas oleh turun naik harga komoditi dan kebangkitan dolar Amerika.

Sembilan daripada 10 orang terkaya yang rugi terbesar pada 2016 adalah dari luar Amerika, diketuai orang kedua terkaya di China, Encik Wang Jianlin, yang kehilangan AS$5.8 bilion.

Encik Wang mengakhiri 2016 sebagai orang ke-21 terkaya di dunia dengan AS$30.6 bilion.

Orang terkaya di Afrika, Aliko Dangote dari Nigeria, kehilangan AS$4.9 bilion, atau satu pertiga hartanya, disebabkan kesan gabungan kejatuhan harga minyak dan penurunan nilai mata wang naira.

Beliau menduduki tangga ke-112 dengan kekayaan sebanyak AS$10.4 bilion.

Putera Alwaleed Bin Talal Al Saud dari Arab Saudi kehilangan AS$4.9 bilion, sebanyak 20 peratus.

Pengasas Alibaba Group Holding Jack Ma mengakhiri tahun ini dengan AS$33.3 bilion, menambah kekayaannya sebanyak AS$3.6 bilion. Beliau orang paling kaya di Asia.

China mempunyai 31 bilionair dalam indeks itu, dengan kekayaan berjumlah AS$262 bilion, mengekori Amerika, yang mempunyai 179 bilionair dengan kekayaan berjumlah AS$1.9 trilion, dan Jerman, dengan 39 individu dengan harta sebanyak AS$281 bilion.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
3 HR PSI: 44
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.