Sebanyak 14 syarikat Singapura telah disertakan dalam senarai ‘100 untuk Dipantau’ atau ‘100 to Watch’ Forbes Asia 2025 yang dikeluarkan pada 26 Ogos.
Senarai itu mengetengahkan syarikat kecil dan pemula yang sedang berkembang pesat di rantau Asia-Pasifik, dengan edisi 2025 menumpukan lebih banyak perhatian kepada kecerdasan buatan (AI) dan teknologi mendalam, lapor The Business Times (BT).
India mendahului dengan 18 syarikat dalam edisi kelima senarai itu, diikuti Singapura dan Jepun yang berkongsi tempat kedua dengan 14 syarikat.
China menyusul dengan sembilan syarikat; diikuti Indonesia dan Korea Selatan masing-masing dengan lapan syarikat; dan Australia dengan tujuh syarikat.
Bioteknologi dan penjagaan kesihatan menjadi tumpuan dalam senarai itu, dengan 18 syarikat, diikuti teknologi perusahaan dan robotik dengan 16 syarikat.
Laporan Ekosistem Pemula Sejagat 2024 oleh Startup Genome meletakkan ekosistem pemula Singapura di tempat ketujuh, dengan Republik ini menduduki tempat pertama di Asia dari segi jumlah dan nilai urus niaga pembiayaan usaha niaga pada November 2024.
Menurut Forbes, 100 syarikat dalam senarai itu telah mengumpul dana sebanyak AS$3 bilion ($3.85 bilion) setakat ini, naik berbanding AS$2 bilion bagi senarai 2024.
Untuk layak disenaraikan, sesebuah syarikat itu perlu mempunyai ibu pejabat di Asia-Pasifik, dimiliki secara persendirian, berorientasikan keuntungan, dan mempunyai pendapatan tahunan maksimum AS$50 juta.
Syarikat itu juga mesti mempunyai jumlah pembiayaan maksimum AS$100 juta setakat 15 Ogos.
Syarikat Singapua yang tersenarai dan industri mereka adalah:
1) Aether Fuels (tenaga dan teknologi hijau)
2) Aevice Health (bioteknologi dan penjagaan kesihatan)
3) AlphaLife Sciences (bioteknologi dan penjagaan kesihatan)
4) Augmentus (teknologi perusahaan dan robotik)
5) Cinch (teknologi pengguna)
6) Finmo (kewangan)
7) HPC-AI Tech (teknologi perusahaan dan robotik)
8) Little Farms (makanan dan hospitaliti)
9) Locad (industri dan pengilangan)
10) Nuevocor (bioteknologi dan penjagaan kesihatan)
11) Prefer (makanan dan hospitaliti)
12) Supermom (teknologi pengguna)
13) Venti Technologies (industri dan pengilangan)
14) WatchTowr (teknologi perusahaan dan robotik)
Syarikat lain dalam senarai itu, seperti Aetech dari Korea Selatan, sedang merancang mengembangkan operasi mereka di Singapura; manakala EverEx yang berpangkalan di Seoul dan KPay dari Hong Kong telah memperkenalkan produk mereka di sini.
Syarikat yang mendapat pembiayaan dari Singapura turut tersenarai.
Shomvob dari Bangladesh telah mengumpul AS$1 juta dalam pembiayaan permulaan yang diketuai firma modal teroka Cocoon Capital; manakala Soft Space di Malaysia telah mengumpul AS$31.5 juta dalam pusingan pembiayaan yang dipimpin firma ekuiti persendirian Southern Capital Group.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg