Minat memasak sejak kecil mencetuskan keinginan menjadi usahawan sehinggalah kini beliau tersenarai dalam Forbes ‘30 under 30’ atau 30 tokoh di bawah usia 30 tahun dalam kategori Asia.
Pengasas Kulon Bakmi, Encik Haris Ahmad, 29 tahun, tidak menyangka dirinya diiktiraf dalam senarai ‘Forbes 30 Under 30 Asia’ iaitu yang menonjolkan individu muda bercita-cita tinggi yang memberi impak yang ketara dalam pelbagai bidang di seluruh Asia.
Senarai itu dikemas kini syarikat media Forbes setiap tahun dan merangkumi pelbagai penyertaan, daripada usahawan kepada artis dan aktivis. Tahun ini, senarai itu termasuk 300 individu dari 20 negara dan wilayah di rantau Asia Pasifik.
“Ini satu detik yang merendahkan hati dan mengingatkan saya sejauh mana perjalanan ini telah membawa saya,” kata Encik Haris yang bermula dalam bidang perniagaan sejak usianya 24 tahun, mengendalikan sebuah gerai makan di Politeknik Singapura.
“Saya amat bersyukur dan teruja.”
Restoran Kulon, yang dibuka bersama ibunya Cik Wati Abdul Khamid pada tahun 2020, terkenal dengan bakmi iaitu mi gaya Indonesia.
Sejak itu, restoran ini meraih lebih 1,000 ulasan di Google dengan purata penilaian 4.7 bintang.
Empat tahun kemudian, Encik Haris memperkenalkan pula restoran Ono Ramen, yang menggabungkan elemen masakan Indonesia dan Jepun, mencerminkan semangat eksperimentasi dan inovasi kulinari beliau.
“Ramai individu berbakat dalam industri ini,” jelas Encik Haris. “Tetapi kalau saya perlu nyatakan apa yang membezakan saya, ia adalah kegigihan, ketabahan dan daya tahan. Tiga perkara ini penting dalam dunia F&B yang sentiasa mencabar.”
Pengiktirafan daripada Forbes, meskipun masih baru, telah membuka ruang-ruang baru bagi Encik Haris untuk berkembang.
“Menjadi sebahagian daripada jaringan Forbes 30 Under 30 telah mempertemukan saya dengan ramai individu yang memberi inspirasi. Ia satu platform yang amat berharga untuk bertukar pandangan dan belajar daripada satu sama lain,” katanya.
Namun di sebalik kejayaan dan perhatian yang diterima, Encik Haris tetap berpijak di bumi nyata. Bagi beliau, kejayaan bukan tentang anugerah semata-mata.
“Definisi kejayaan saya tidak pernah berubah sejak hari pertama: untuk membuat ibu bapa saya gembira dan bangga. Jika saya berjaya lakukan itu, saya sudah cukup puas hati,” ujarnya.
Selain ibunya yang juga rakan kongsi perniagaan, Encik Haris turut menghargai sokongan seluruh ahli keluarga, termasuk ayah dan adik-beradiknya.
Beliau memberi penghargaan buat Encik Ariff Zin dari Rumah Makan Minang sebagai sahabat karib dan tempatnya berkongsi pandangan.
“Mama adalah tunggak utama saya. Tanpa bimbingannya, saya mungkin tidak sampai ke tahap ini,” ujarnya.
Sebagai usahawan muda yang menonjolkan warisan budaya, Encik Haris berhasrat memperkenalkan lebih banyak masakan Indonesia ke peringkat global, bermula dari Singapura.
“Buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada pengembangan tempatan. Tapi ya, saya berharap dapat berkembang ke peringkat antarabangsa – dengan rakan kerjasama yang sehaluan dengan nilai kami,” katanya.
Pengiktirafan yang diterima juga menambahkan rasa tanggungjawab untuk menyumbang semula, terutama kepada generasi usahawan baru.
“Sejak dahulu lagi saya suka membantu usahawan muda, terutamanya mereka yang baru bermula dan tiada pengalaman. Jika saya boleh jadi orang yang saya harapkan ketika mula dulu, itu satu tanggungjawab yang saya galas dengan rela,” kata Encik Haris lagi.
Bagi anak-anak muda yang memasang impian untuk berjaya di peringkat antarabangsa, Encik Haris mempunyai pesanan ringkas tetapi bermakna:
“Rendah diri, rajin bergaul dan sentiasa terbuka untuk belajar. Kadangkala perbualan ringkas boleh membawa kepada peluang yang besar.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg