Sekitar dua dozen bank pusat merentas ekonomi membangun dan maju, dijangka mempunyai mata wang digital yang diedarkan menjelang akhir dekad ini.
Demikian menurut Bank for International Settlements (BIS) dalam satu tinjauan yang terbit pada Isnin.
Bank pusat di merata dunia telah mengkaji dan mengusahakan versi mata wang digital mereka bagi kegunaan runcit bagi mengelak usaha sektor privet mengambil alih bayaran digital di sebalik pengurangan wang tunai yang mendadak.
Malah, ada yang meninjau versi borong bagi urus niaga antara institusi kewangan.
Kebanyakan Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDCs) yang baru akan muncul dalam ruang runcit, di mana 11 bank pusat akan turut serta dengan “rakan setara” di Bahamas, Caribbean Timur, Jamaica dan Nigeria. Mereka sudah menjalankan mata wang runcit digital secara langsung.
Demikian menurut tinjauan BIS dalam kalangan 86 bank pusat yang dijalankan pada lewat 2022.
Dari sudut pemborongan, yang membolehkan institusi kewangan mengakses kemudahan baru pada masa depan, hasil daripada penggunaan token, sembilan bank pusat mungkin akan melancarkan CBDCs, kata BIS.
“Meningkatkan pembayaran rentas sempadan adalah antara pemacu utama usaha bank-bank pusat terhadap pemborongan CBDCs,” tulis pengarang laporan itu.
Pada lewat Jun, Bank Nasional Swiss berkata ia akan mengeluarkan CBDC borong di bursa digital Switzerland sebagai sebahagian daripada langkah percubaan.
Sementara itu, Bank Pusat Eropah dijangka memulakan percubaan euro digitalnya lebih awal menjelang pelancaran pada 2028.
Ujian perintis di China kini mencecah 260 juta orang.
Dua lagi ekonomi besar yang sedang membangun pesat, India dan Brazil, merancang melancarkan mata wang digital pada tahun depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg