Sekitar 37,000 penumpang dewasa yang layak mendapat kad perjalanan EZ-Link atau Nets FlashPay percuma telah mengambil kad itu setakat 30 Jun.
Mereka membentuk 13 peratus daripada penumpang yang layak mendapat kad tersebut selepas rancangan beralih kepada sistem tiket baru ditangguh, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Tarikh itu adalah hari terakhir bagi mendapatkan kad tersebut, yang pengagihannya dijalankan selama beberapa bulan.
Penumpang dewasa yang layak diberi pilihan mendapatkan kad EZ-Link atau Nets FlashPay percuma yang sesuai dengan sistem tiket berasaskan kad (CBT) yang lama.
Kad lama tersebut memaparkan potongan tambang dan baki nilai kad pada pembaca kad.
Seramai 296,000 penumpang dewasa layak mendapatkan kad percuma itu, kata LTA kepada The Straits Times pada 8 Julai.
Untuk layak, mereka mesti telah menaik taraf kad EZ-Link mereka kepada SimplyGo, iaitu sistem kad tiket berasaskan akaun (ABT) baru, atau membeli kad ez-link SimplyGo dari 9 hingga 22 Januari.
Mereka yang membeli kad prabayar Nets yang sesuai dengan SimplyGo dalam tempoh sama juga boleh mengambil kad Nets FlashPay percuma yang sesuai dengan sistem berasaskan kad.
Pada 9 Januari, LTA mengumumkan rancangan menghentikan kad perjalanan lama dan menghendaki semua penumpang dewasa menggunakan kad SimplyGo mulai 1 Jun.
Namun, ia menangguhkan rancangan itu pada 22 Januari selepas bantahan ramai, dengan penumpang melahirkan rasa kurang senang.
Ramai penumpang meluahkan rasa kecewa kerana kad SimplyGo tidak dapat menunjukkan potongan tambang dan baki nilai kad di pintu tambang MRT dan pembaca kad bas.
Transaksi tambang di kad SimplyGo boleh dilihat secara digital sahaja, seperti di aplikasinya.
Sebaliknya, kad EZ-Link lama beroperasi pada sistem berasaskan kad, yang membolehkan pengguna melihat maklumat tambang pada pembaca kad.
LTA menyatakan penukaran kad daripada SimplyGo kepada sistem kad lama tidak boleh dibuat di pejabat tiket dan hanya boleh dilakukan jika kad “diformat semula dalam sekitaran selamat”.
Ini bermakna penumpang perlu menyerahkan kad berkenaan, yang mungkin satu-satunya kad perjalanan mereka.
Atas sebab itu, pihak berkuasa pada 28 Februari mengumumkan ia akan mengeluarkan kad sistem tiket berasaskan kad (CBT) kepada semua pengguna yang layak sebagai sebahagian proses pengambilan kad secara berperingkat di pejabat tiket dari 18 Mac hingga 30 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg