Hampir dua daripada setiap tiga pekerja Singapura sanggup berpindah ke luar negara untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik, dengan Australia menjadi destinasi paling popular, demikian menurut satu tinjauan baru-baru ini.
Angka sebanyak 64 peratus pekerja setempat yang sanggup berhijrah ke luar negara itu adalah lebih rendah berbanding 87 peratus yang dicatat pada 2018, sebelum pandemik Covid-19.
Daripada pekerja Singapura yang bersedia berpindah ke luar negara, sebanyak 72 peratus adalah profesional muda berusia di bawah 30 tahun, lapor The Straits Times (ST).
Hasil tinjauan itu yang dikeluarkan pada 14 Mei oleh portal pekerjaan Jobstreet by Seek, juga menunjukkan bahawa pasaran Asia Tenggara dan sedunia mempunyai kadar serupa pekerja yang bersedia berhijrah ke luar negara, masing-masing pada 68 dan 63 peratus.
Mengulas mengenai hasil tinjauan tersebut, pengurus besar di syarikat pengambilan pekerja, Ranstad Singapore, Encik David Blasco, berkata:
“Secara tradisional, rakyat Singapura sentiasa mencari pelbagai peluang pekerjaan di luar negara yang memberi ganjaran dan kepuasan kerja lebih baik, atau keseimbangan kerja-kehidupan lebih sihat.”
Namun, pandemik Covid-19 mengubahnya dengan ketara, katanya.
“Kini, lebih banyak syarikat di Singapura menawarkan pelbagai faedah dan inisiatif lebih menarik, dan menyusun semula tanggungjawab kerja untuk memenuhi jangkaan bakat, dan mengurangkan daya tarikan syarikat di luar negara,” tambahnya.
Bersetuju dengan pandangan itu, profesional kanan di Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP), Cik Alyce Cheong, berkata Singapura, yang menempatkan banyak ibu pejabat serantau dan syarikat berbilang negara (MNC), menyediakan pekerja di sini pelbagai peluang untuk maju dalam kerjaya mereka.
Beliau menarik perhatian bahawa sampel tinjauan itu pada umumnya melibatkan responden berusia pertengahan 30-an tahun hingga pertengahan 40-an tahun, iaitu satu fasa kehidupan apabila ramai mula mempunyai keluarga sendiri, yang menghalang mereka daripada berhijrah ke luar negara.
Laporan tersebut berdasarkan satu tinjauan sedunia yang dijalankan dari Oktober hingga Disember 2023 melibatkan 150,735 responden di 188 negara.
Ini termasuk 3,260 responden daripada tenaga pekerja Singapura – 87 peratus daripadanya warga Singapura dan selebihnya ekspatriat.
Dalam kalangan responden Singapura, mereka yang bekerja dalam bidang pemasaran dan media didapati paling bersedia berpindah ke luar negara untuk menikmati peluang pekerjaan lebih cerah dan menarik.
Ini diikuti mereka yang berkhidmat dalam bidang pendigitalan, sains data dan kecerdasan buatan (AI).
Di hujung spektrum yang berbeza, industri penjagaan sosial dan perkhidmatan sosial, serta industri pentadbiran dan sekretariat mempunyai kadar terendah responden yang bersedia berpindah untuk bekerja di luar negara.
Destinasi paling digemari bagi pekerja Singapura ialah Australia.
Sebanyak 33 peratus responden memilih negara itu sebagai antara tiga negara paling digemari, diikuti negara berteknologi tinggi lain seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat.
Portal Jobstreet itu juga mendedahkan bahawa negara jiran seperti Malaysia dan Thailand juga popular kerana dua negara itu adalah destinasi yang sering dikunjungi pekerja Singapura.
Dari segi tempoh masa bekerja, responden Singapura lebih suka bekerja di luar negara bagi tempoh lebih pendek antara satu dengan tiga tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg