Abu Dhabi meraih tempat teratas dalam kedudukan global baru bandar berdasarkan modal yang diuruskan oleh dana kekayaan negara mereka, dengan aset AS$1.7 trilion ($2.2 trilion) setakat Oktober.
Ini meletakkan ibu negara Amiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai hab terbesar untuk modal dana negara, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Global SWF pada 8 Oktober.
Kedudukan tersebut, yang buat pertama kali menilai aset dana negara di peringkat bandar, meletakkan Abu Dhabi di hadapan Oslo, Beijing dan Singapura.
Singapura, dengan GIC dan Temasek, menduduki tempat keempat, menguruskan lebih AS$1.1 trilion ($1.4 trilion) dalam aset tersebut.
Pemerintah Singapura tidak mendedahkan secara terbuka jumlah penuh rizabnya yang diuruskan oleh GIC, lapor The Business Times (BT).
Laporan itu menyatakan bahawa dana Abu Dhabi termasuk berbilang entiti, seperti Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (Adia), Syarikat Pelaburan Mubadala dan Syarikat Induk Pembangunan Abu Dhabi (ADQ).
Dana ini diuruskan di bawah mandat berasingan dan membolehkan bandar itu kekalkan strategi pelaburan yang berbeza, kata laporan itu.
Apabila digabungkan, ketiga-tiga institusi itu telah melabur AS$36 bilion ($47 bilion) secara global dalam tiga suku pertama 2024, menyumbang 26 peratus daripada semua pelaburan dana dalam tempoh itu.
“Harga minyak yang tinggi yang berterusan bermakna lebihan fiskal yang baik untuk Abu Dhabi sejak 2020, apabila ia mengalami ujian tekanan,” kata laporan itu.
“Menurut ramalan Fitch, jika keadaan kekal seperti sedia ada, UAE akan mendapat manfaat daripada lebihan AS$60 bilion ($78 bilion) dalam dua tahun akan datang yang akan mengalir ke Adia yang sudah besar.”
Selain daripada aset kewangannya, Abu Dhabi mendahului dalam modal insan yang digunakan oleh dana kekayaan negaranya, dengan 3,107 kakitangan di seluruh institusi, menurut laporan itu.
Bandar utama lain, termasuk Singapura, Riyadh, Kuala Lumpur dan Dubai, menyusul rapat, dengan masing-masing mengambil lebih 1,000 kakitangan dalam dana masing-masing.
Di peringkat global, dana kekayaan negara mengurus aset AS$12.5 trilion ($16.3 trilion).
Abu Dhabi, Oslo, Beijing, Singapura, Riyadh dan Hong Kong merupakan enam bandar yang menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah ini.
“Penarafan dunia mengesahkan penumpuan dana kekayaan negara di beberapa bandar terpilih, menekankan kepentingan hab kewangan ini di peringkat global,” kata pengasas dan pengarah urusan Global SWF, Encik Diego Lopez.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg