Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah bertemu beberapa pegawai Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi bagi memperkukuh hubungan baik dua hala antara kedua negara.
Dalam hantaran di Facebook pada 3 September, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata beliau berbesar hati dapat bertemu semula dengan rakan-rakan sejawatannya sambil memupuk hubungan baru dengan pemimpin lain.
“Saya mengadakan siri perbincangan menarik yang tertumpu kepada bidang seperti membina keluarga kukuh, persefahaman antara agama dan perpaduan sosial, serta perdagangan dan tenaga.
“Dengan berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, rakyat kedua-dua negara akan meraih manfaat lanjut,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Kedua Kesihatan.
Beliau sedang melakukan lawatan ke UAE dan Jordan dari 1 hingga 5 September sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan hubungan Singapura dengan UAE dan Jordan untuk menjalin kerjasama pada masa hadapan.
Semasa lawatannya di UAE, beliau turut bertemu dengan Ketua Pengerusi Penguasa Hal Ehwal Islam, Wakaf dan Zakat, Dr Omar Habtoor Al Darei, sambil berkongsi visi Masyarakat Gemilang Singapura dan inisiatif Wakaf Masyarakat Singapura.
Beliau turut menemui Menteri Toleransi & Kewujudan Bersama Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan, serta Pengerusi Hedayah (Pusat Kecemerlangan Antarabangsa bagi Menentang Ekstremisme dan Ekstremisme Ganas) dan Hal Ehwal Luar Majlis Kebangsaan Persekutuan, Dr Ali Rashid Al Nuaimi.
Semasa di sana, Encik Masagos dan rakan sejawatannya turut mengadakan perbincangan berhubung perkembangan terkini di Timur Tengah, terutama mengenai Gaza.
“Singapura amat prihatin dengan krisis kemanusiaan yang semakin memburuk yang telah menyebabkan kehilangan beribu-ribu nyawa orang awam yang tidak bersalah.
“Singapura akan bekerjasama dengan UAE dan Cyprus untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan keempat – 300 tan metrik sardin dalam tin dan 1,000 tan metrik beras ke Gaza,” kata Encik Masagos.
Antara lain, Encik Masagos turut bertemu dengan Menteri Negara bagi Perdagangan Luar Negeri, Dr Thani Ahmed Al Zeyoudi; dan Pengerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat, Dr Mugheer Khamis Al Khaili.
Beliau juga sempat bertemu dengan Pengerusi Jabatan Tenaga, Encik Awaidha Murshed Al Marar; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah; dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Mohamed Bin Zayed, Dr Mohamed Rashed Al Hamel.
Semasa di sana, Encik Masagos sempat beramah mesra dengan masyarakat Islam Singapura di UAE dan berkongsi perkembangan terkini tentang Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg