NEW YORK: Firma induk Google, Alphabet, sedang dalam perbincangan lanjutan untuk memperoleh Wiz, syarikat permulaan keselamatan siber, pada harga kira-kira AS$23 bilion ($30.8 bilion), menurut tiga orang yang tahu tentang perbincangan itu.
Ia merupakan satu perjanjian yang akan mewakili pemerolehan terbesar gergasi teknologi itu.
Walaupun kesepakatan kelihatan mungkin dicapai, perbincangan masih boleh gagal, kata mereka.
Google dan Wiz tidak menjawab permintaan daripada agensi berita untuk mendapatkan komen.
Google telah bergerak ke depan dengan rundingan walaupun terdapat kemungkinan pengawal selia mungkin cuba menyekat perjanjian itu, namun, syarikat itu mungkin sanggup berjuang untuk meningkatkan bahagian pengkomputeran awannya, yang ketinggalan di belakang Perkhidmatan Web Amazon dan Microsoft Azure.
Google telah disaman oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam dua kes antipakat berasingan, satu menyasarkan enjin carian di mana-mana dan satu lagi berusaha memecahkan perniagaan teknologi pengiklanan digitalnya.
Keputusan dalam kes pencarian itu dijangka diumumkan pada musim panas – antara Jun dengan September.
Kawal selia yang dijalankan pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden, telah mengambil tindakan keras terhadap pengambilalihan oleh semua gergasi teknologi dan penyatuan korporat secara amnya.
Ia menyekat tawaran seperti gergasi penerbitan, Penguin Random House untuk, mengambil alih pesaing Simon dan Schuster sebanyak AS$2.18 bilion; dan pemerolehan JetBlue bernilai AS$3.8 bilion oleh Spirit Airlines.
Amazon telah meninggalkan pemerolehan iRobot bernilai AS$1.7 bilion selepas ditolak oleh pengawal selia Eropah dan Amerika. Dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan tidak berjaya menyaman untuk menyekat pemerolehan Microsoft terhadap syarikat permainan video Activision.
Selama bertahun-tahun, eksekutif Google telah menumpukan perhatian kepada mencari keuntungan di luar pengiklanan dalam talian, tetapi carian Google, YouTube dan platform lain masih menyalur tiga perempat daripada hasil Google.
Membeli Wiz tidak akan meninggalkan kesan besar semalaman, tetapi akan menjalin hubungan antara Google Cloud dengan syarikat yang menggunakan Wiz bagi melindungi data yang disimpan dalam AWS, Azure dan sistem pengkomputeran awan lain.
Pembelian yang begitu megah sedemikian adalah luar biasa untuk Google, yang telah berhati-hati tentang pemerolehan besar.
Kurang dua tahun selepas membeli Motorola dengan harga AS$12.5 bilion, Google menjualnya kepada pembuat komputer Lenovo – dengan kerugian.
Baru-baru ini, pada 2021, Google membayar AS$2.1 bilion untuk syarikat penjejak kecergasan FitBit, satu perjanjian yang turut menghadapi penelitian kawal selia sebelum ia diluluskan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg