KUALA LUMPUR: Google mengumumkan pelaburan bernilai RM9.4 bilion ($2.7 bilion) untuk menempatkan pusat data Google dan wilayah awan Google, iaitu ‘Google Cloud’, pertama di Malaysia.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Miti) pada 30 Mei, ia dijangka akan menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor dalam Malaysia termasuk dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan, dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion.
Malaysia akan menyertai wilayah awan, atau cloud region, bersama 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan sejagat.
Bukan itu saja, komitmen terkini itu turut menggariskan program literasi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pendidikan untuk pelajar dan pendidik Malaysia, lapor Astro Awani.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pengumuman terbaru Google mengenai pelaburan RM9.4 bilion di Malaysia itu akan memajukan dengan ketara cita-cita digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030).
“Pusat data Google dan wilayah awan Google di Kuala Lumpur akan memperkasakan industri pengilangan dan berasaskan perkhidmatan untuk memanfaatkan AI dan teknologi canggih lain bagi meningkatkan rantaian nilai sejagat, dengan anggaran impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion.
“Kami juga mengalu-alukan rancangan Google untuk membantu membangunkan ekosistem bakat yang teguh dengan memudahkan pertumbuhan kemahiran digital, perniagaan dan kerjaya pekerja.
“Kami yakin perkongsian dan pelaburan berterusan Google akan mempercepatkan transformasi digital negara, menyumbang kepada visi Madani ke arah Malaysia yang lebih makmur dan maju dari segi teknologi,” tambahnya.
Pengumuman itu dibuat selepas beberapa siri penglibatan Miti yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden, Ketua Pegawai Pelaburan dan Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Cik Ruth Porat.
Tapak pelaburan terbaru di Malaysia adalah di Elmina Business Park, Selangor, yang akan memperkasakan perkhidmatan digital popular Google seperti carian, peta dan ruang kerja, sambil memainkan peranan penting dalam membolehkan Google menyampaikan manfaat Al kepada pengguna di seluruh negara.
Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara yang mana Google telah membina dan kini mengendalikan pusat data bagi menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg