Tiada satu mata wang pun yang “terlalu menjejas kestabilan meluas dolar Singapura”, kata Menteri Negara Perdagangan dan Industri Alvin Tan di Parlimen pada 7 Mei.

Encik Tan, yang juga anggota lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS), menjelaskan demikian sewaktu menjawab pertanyaan mengenai perubahan peranan dolar Amerika Syarikat.

Anggota Parlimen Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng, ingin tahu bagaimana “peralihan global daripada dolar Amerika” akan mempengaruhi pemberat dalam bakul indeks Kadar Pertukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer).

Bakul ini merupakan gabungan mata wang rakan dagang utama Singapura, ditimbang mengikut nilai perdagangan, yang digunakan untuk mengurus dasar kewangan.

Encik Tan berkata, pemberat mata wang dalam bakul indeks tersebut sentiasa disemak dan dikemas kini bagi mencerminkan corak perdagangan Singapura yang dinamik.

Beliau turut menyatakan bahawa dolar Amerika kekal dominan di persada global, digunakan secara meluas dalam perdagangan antarabangsa dan bagi kebanyakan komoditi.

Ia merupakan mata wang rizab dan mata wang invois yang paling berpengaruh di dunia.

Kebanyakan perdagangan global diinvoiskan hanya dalam beberapa mata wang. Dolar Amerika, misalnya, menyumbang kira-kira 40 peratus daripada eksport global, kata beliau.

Encik Tan menambah, walaupun mata wang lain menunjukkan sedikit pertumbuhan, penggunaannya masih jauh lebih kecil.

Contohnya, bahagian mata wang Renminbi dalam invois perdagangan global adalah kurang daripada dua peratus, meskipun ia semakin meningkat popular di Asia Pasifik dan Eropah.

Encik Tan juga menegaskan bahawa Amerika adalah salah satu rakan dagangan terbesar Singapura.

“Komposisi mata wang yang pelbagai dalam bakul S$Neer mencerminkan landskap perdagangan Singapura dengan sumber import utama dan pasaran eksportnya,” kata beliau.

“Ini adalah faktor struktur yang berkembang secara beransur-ansur dari masa ke masa,” jelasnya.

Dolar Singapura telah mengukuh sejak dasar kewangan diperketat pada Oktober 2021.

S$NEER sejak itu telah meningkat sebanyak 12 peratus, kata Encik Tan, sambil menekankan bahawa ini telah meredakan kesan inflasi import di Singapura, dan kesan berantainya terhadap ekonomi negara.