MAS kekalkan dasar Singdolar, naikkan ramalan inflasi 2026
MAS kekalkan dasar Singdolar, naikkan ramalan inflasi 2026
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengekalkan dasar dolar Singapura pada 29 Januari, seperti dijangka pasaran, walaupun ramalan inflasi 2026 dinaikkan.
Bank pusat itu berkata, ia akan mengekalkan kadar kenaikan jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer) semasa.
MAS mengurus dasar kewangan dengan membenarkan dolar Singapura bergerak berbanding sekumpulan mata wang rakan dagang utama, dalam jalur S$Neer yang dirahsiakan.
Langkah ini mempengaruhi kos import dan tekanan inflasi tempatan.
Dalam semakan dasar ini, MAS menegaskan kadar pertukaran dolar Singapura dikekalkan sepenuhnya tanpa sebarang perubahan.
MAS bersedia bertindak jika perlu bagi memastikan kemantapan harga jangka sederhana, sambil memantau rapat perkembangan ekonomi sedunia.
Ramalan inflasi teras dan inflasi keseluruhan 2026 kini 1 hingga 2 peratus, naik dari 0.5 hingga 1.5 peratus pada Oktober lalu.
Inflasi teras, tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet, adalah ukuran perbelanjaan isi rumah yang lebih tepat.
Sepanjang tahun, kadar inflasi teras dijangka sedikit di bawah trend.
Inflasi keseluruhan pula dijangka kekal rendah kerana kos penginapan yang stabil, berikutan pertumbuhan sewa perumahan yang lebih lemah sejak 2025.
Namun, MAS memberi amaran, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dari jangkaan boleh melonjakkan gaji, meningkatkan permintaan pengguna dan tekanan inflasi.
“Kejutan bekalan, termasuk yang dicetuskan oleh perkembangan politik sejagat, boleh meningkatkan kos import,” katanya.
MAS turut menegaskan masih terdapat kelemahan dalam ekonomi sedunia yang boleh menjejaskan pertumbuhan.
Contohnya, pembetulan mendadak pasaran kewangan atau pengunduran pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang boleh melemahkan pertumbuhan dan menurunkan inflasi.
Keputusan ini bermakna MAS, yang menyemak dasar empat kali setahun, mengekalkan dasarnya sejak langkah sokongan terakhir pada April 2025.
MAS turut menyatakan dolar Singapura mengukuh berbanding mata wang rakan dagang utama sejak semakan terakhir pada Oktober.
Langkah ini sejajar dengan pandangan kebanyakan ahli ekonomi, didorong pengukuhan dolar Singapura berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang melemah serta pertumbuhan ekonomi Singapura yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Ekonomi berkembang sebanyak 4.8 peratus pada 2025 (berbanding 4.4 peratus pada 2024), selain data Disember yang menunjukkan harga pengguna kekal tinggi tiga bulan berturut-turut.
Selepas pengumuman MAS, dolar Singapura melemah sedikit, susut 0.1 peratus kepada 1.2635 berbanding dolar AS setakat jam 9.40 pagi.
Dolar Amerika pula berada dalam trend menurun pada 2026, walaupun mengukuh sedikit selepas Lembaga Simpanan Federal (Fed) Amerika mengekalkan kadar faedahnya.
Ini mencerminkan sifat ekonomi Singapura yang kecil dan bergantung kepada perdagangan, di mana hampir 40 sen daripada setiap dolar Singapura dibelanjakan untuk import, menjadikan kadar pertukaran faktor utama yang mempengaruhi inflasi.

