CL Savour Property, anak syarikat CapitaLand Development, telah memperoleh tender untuk tapak perindustrian seluas 4.41 hektar di Kallang Way, bernilai $369 juta, kata JTC Corporation pada 20 November.
Syarikat itu perlu mengekalkan dan memperbaharui kegunaan kilang teres tiga tingkat sedia ada itu – yang dibina pada 1980-an dan merupakan bangunan terakhir seumpamanya di Singapura.
Antara kegunaan yang boleh dipertimbangkan untuk bangunan itu termasuk ruang runcit, gerai makanan dan minuman, pusat hiburan, kemudahan kesihatan dan kecergasan, dan sebagainya.
Sebuah kilang pengeluaran makanan pelbagai pengguna (multi-user) akan dibina bersebelahan bangunan itu, lapor The Straits Times.
Ini adalah tender pertama JTC di bawah program Jualan Tanah Perindustrian Pemerintah (IGLS), yang memerlukan pemenang tender menggunakan semula bangunan lama, dengan tujuan memberi kesegaran pada ruang perindustrian dan menyediakan kemudahan baru untuk para penduduk.
Kebiasaannya, pihak pemaju akan membida untuk tapak tanah kosong.
Bagi memberi lebih masa kepada pemaju untuk memenuhi syarat ini, JTC menganugerahkan tapak tersebut dengan pajakan selama 33 tahun – lebih lama berbanding tapak IGLS lain yang biasanya mempunyai tempoh pajakan 20 atau 30 tahun.
Empat bidaan diterima sebelum penutupan tender pada 1 Oktober, kata JTC.
Pengarah divisyen perancangan bandar dan seni bina JTC, Cik Tang Hsiao Ling, berkata penggunaan semula bangunan adalah cara yang berkesan untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam persekitaran binaan, sambil memelihara sejarah tapak perindustrian Kallang Way tersebut.
“Kami amat menghargai sambutan positif terhadap tender ini. Ia mencerminkan penerimaan pasaran daripada kalangan pemimpin industri seperti CapitaLand Development, yang menyokong usaha kami untuk menggalakkan amalan mampan dalam pembangunan kawasan perindustrian di seluruh Singapura,” kata Cik Tang.
Bangunan tiga tingkat itu mempunyai reka bentuk “teres-pameran” yang unik, terdiri daripada ruang pameran yang dibina khas dengan menghadap jalan raya, dan pihak pemaju perlu menggabungkan reka bentuk itu dalam rancangan mereka.
Tingkat bawah bangunan itu, serta sebahagian daripada bangunan kilang baru yang menghadap Pelton Canal, perlu digunakan untuk tujuan runcit supaya penduduk dan pelajar di kawasan berdekatan mempunyai lebih pilihan dari segi kemudahan.
Sepuluh deretan bengkel teres di Kallang Way, yang dibina pada akhir 1970-an, telah dirobohkan untuk memberi laluan buat tapak tender tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg