Lebih banyak jenama global kini memperluaskan operasi mereka ke Asia melalui Singapura.
Jenama-jenama ini memanfaatkan lokasi strategik Singapura, prasarana kukuh dan persekitaran perniagaan yang dinamik sebagai wadah untuk menyesuaikan produk bagi pasaran Asia serta menyelaras operasi dan rantaian bekalan serantau.
Langkah peluasan tersebut berlaku ketika Asia dijangka menyumbang separuh daripada pertumbuhan pengguna menjelang 2030, menawarkan peluang bernilai US$10 trilion ($12.97 trilion), dengan satu daripada dua urus niaga di seluruh dunia dijangka berasal daripada pengguna di rantau ini, menurut syarikat konsultasi pengurusan sejagat, McKinsey.
Singapura berada pada kedudukan baik untuk memenuhi permintaan tersebut, dengan Lapangan Terbang Changi mengendalikan 67 juta penumpang pada 2024.
Angka itu dijangka meningkat sehingga 140 juta penumpang setahun apabila Terminal 5 siap menjelang pertengahan 2030-an.
Naib Presiden dan Ketua Pengguna Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Cik Melissa Guan, berkata syarikat tertarik untuk memperluaskan operasi ke Singapura kerana kebanyakan pengguna di negara ini berbilang budaya, serta mempunyai kuasa beli dan minat untuk mencuba produk baru.
Aspek ini membolehkan jenama-jenama tersebut menguji dan menyesuaikan tawaran mereka di seluruh Asia, lapor The Straits Times (ST).
Tenaga kerja pelbagai budaya Singapura juga memberi syarikat akses kepada bakat yang memiliki pengetahuan pasaran serantau dalam membantu mereka mengembangkan operasi di seluruh Asia Tenggara.
EDB bekerjasama dengan syarikat asing yang ingin menubuhkan operasi di sini dengan menggalakkan kerjasama dalam ekosistem tempatan, seperti institut penyelidikan, rakan inovasi dan jenama tempatan.
Langkah ini memberi kelebihan kompetitif bagi mereka yang merancang untuk berkembang di rantau ini.
Sejak 2022 hingga September 2025, EDB telah memperoleh lebih 50 pelaburan baru daripada syarikat yang ingin memperluaskan operasi melalui Singapura.
Menurut jurucakap EDB, sokongan yang disediakan termasuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan, serta menggunakan Singapura sebagai wadah percubaan untuk melancarkan konsep runcit yang boleh diperluaskan ke seluruh rantau.
Salah satu syarikat terbaru yang menubuhkan operasi di Singapura dengan sokongan EDB ialah pengeluar barang kemas asal Denmark, Pandora, yang membuka ibu pejabat serantau mereka di Singapura, pada November sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan kehadirannya di seluruh Asia, kata Ketua Pegawai Komersial Pandora, Encik Massimo Basei.
Pandora kini menggaji 400 kakitangan dalam peranan pejabat dan runcit, serta mengendalikan 62 kedai di seluruh rantau ini.
Hab baru di Singapura itu dijangka menambah sekitar 50 peranan baru, khusus untuk mengembangkan perniagaan, kata Encik Basei.
“Ibu pejabat baru kami akan memberi tumpuan kepada penjenamaan dan pemasaran, pembangunan pasaran serta operasi.
“Pasukan ini akan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan menyokong pasaran kami di seluruh Asia,” kata beliau.
Encik Basei menambah Singapura merupakan pangkalan ideal untuk menguruskan pasaran luar yang sudah mantap seperti Jepun dan Korea Selatan, serta pasaran baru seperti India dan Indonesia.
“Tumpuan kami sekarang adalah untuk membina asas yang kukuh dengan ibu pejabat serantau baru di Singapura,” kata Encik Basei.
“Ini adalah pelaburan penting dari segi prasarana dan bakat, yang menekankan komitmen jangka panjang Pandora terhadap Asia dan cita-cita kami untuk merebut potensi besar di rantau ini.”
Jenama antarabangsa lain yang telah dibuka di Singapura baru-baru ini termasuk jenama pakaian aktif dan kesihatan, On and Alo, yang membuka kedai utama di Jewel Lapangan Terbang Changi dan The Shoppes at Marina Bay Sands, masing-masing pada Julai dan Ogos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg