Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Apple hentikan 100 pekerja khidmat digital

Pemotongan terbesar dibuat terhadap pasukan bertanggungjawab bagi aplikasi Apple Books, Apple Bookstore
Aug 28, 2024 | 4:23 PM
Pemberhentian pekerja Apple melibatkan beberapa peranan kejuruteraan tetapi pemberhentian terbesar adalah di bahagian aplikasi Apple Books dan Apple Bookstore.
Pemberhentian pekerja Apple melibatkan beberapa peranan kejuruteraan tetapi pemberhentian terbesar adalah di bahagian aplikasi Apple Books dan Apple Bookstore. - Foto REUTERS

Apple mengambil langkah yang jarang dilakukannya dengan memotong kira-kira 100 pekerjaan dalam kumpulan perkhidmatan digitalnya, sebahagiannya disebabkan peralihan keutamaan untuk bahagian kritikal.

Syarikat itu memaklumkan pekerja yang terjejas, merentasi beberapa pasukan berbeza dalam kumpulan perkhidmatan di bawah naib presiden kanan Encik Eddy Cue, pada 27 Ogos, kata mereka yang mengetahui perkara itu.

Pemberhentian itu termasuk beberapa peranan kejuruteraan.

Namun pemotongan terbesar dibuat terhadap pasukan yang bertanggungjawab ke atas aplikasi Apple Books dan Apple Bookstore, tambah sumber yang meminta nama mereka tidak disebutkan kerana pemberhentian itu tidak diketahui umum.

Terdapat juga pemberhentian dalam pasukan perkhidmatan lain, termasuk yang mengendalikan Apple News.

Apple Books menjadi kurang utama bagi syarikat itu, yang tidak melihatnya sebagai sebahagian besar daripada rangkaian perkhidmatannya.

Aplikasi Apple Books dijangka diterapkan dengan ciri-ciri baru dari masa ke masa.

Bagi Apple News, pemberhentian pekerja bukanlah petanda bahawa ia kurang menjadi tumpuan, kata sumber itu lagi.

Pemberhentian agak jarang berlaku di Apple, meskipun syarikat itu membuat sekurang-kurangnya empat pusingan pengurangan pekerja pada 2024.

Pada awal 2024, Apple berhentikan ratusan pekerja apabila ia menutup projek kereta pandu sendiri serta usaha menghasilkan paparan microLED.

Ia juga menutup pasukan di San Diego, Amerika Syarikat.

Seorang wakil syarikat itu yang berpangkalan di Cupertino, California, enggan mengulas mengenai pemberhentian pekerja itu.

Perkhidmatan secara amnya menjadi enjin pertumbuhan untuk Apple dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Mereka menyumbang lebih 22 peratus jualan dalam tahun fiskal terbaru, meningkat daripada kurang 10 peratus sedekad lalu, dan peningkatan itu telah membantu mengatasi permintaan yang lembap pada masa-masa tertentu.

Banyak pemberhentian pekerja berlaku di bahagian aplikasi yang dikendalikan oleh naib presiden lama, Encik Roger Rosner.

Pekerja diberitahu bahawa mereka diberi masa 60 hari untuk mencari pekerjaan lain dalam Apple sebelum khidmat mereka ditamatkan.

Sesetengah pekerja bertugas merentas berbilang pasukan, justeru bahagian lain turut terjejas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg