Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elon Musk ancam sekat peranti Apple dalam syarikatnya

Jun 12, 2024 | 3:51 PM
Elon Musk
Encik Elon Musk, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX dan Tesla serta pemilik X, semasa hadir di sidang Teknologi Vivadi Paris, Perancis. - Foto REUTERS

Hartawan, Encik Elon Musk, berkata beliau akan mengharamkan penggunaan peranti Apple di syarikatnya jika pembuat iPhone itu menyepadukan OpenAI di peringkat sistem operasi (OS) peranti berkenaan.

“Itu adalah ancaman keselamatan yang tidak boleh diterima,” kata Encik Musk, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pembuat kenderaan elektrik, Tesla, pembuat roket, SpaceX, dan pemilik syarikat media sosial, X.

“Dan pelawat perlu tinggalkan peranti Apple mereka di pintu dan akan disimpan dalam sangkar Faraday,” katanya dalam hantaran di X pada 10 Jun.

Apple dan OpenAI tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Apple telah mengumumkan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) merentas aplikasi dan wadah pengendaliannya serta perkongsian dengan OpenAI untuk membawa teknologi ChatGPT ke perantinya.

Apple berkata ia telah membina AI dengan privasi “di peringkat teras” dan akan menggunakan gabungan pemprosesan pada peranti dan pengkomputeran awan untuk menggerakkan ciri tersebut.

“Adalah tidak masuk akal bahawa Apple tidak cukup bijak untuk membuat AI mereka sendiri, namun entah bagaimana mampu memastikan OpenAI akan melindungi keselamatan dan privasi anda!” tulis Encik Musk di X.

CEO firma perunding, Creative Strategies, Encik Ben Bajarin, berkata, tidak mungkin akan ada yang ikut langkah Encik Musk.

Beliau menambah, Apple cuba mendidik pengguna bahawa awan peribadi adalah selamat dan ia serupa dengan langkah menyimpan data di peranti.

Dalam perkembangan berasingan, Encik Musk pada 11 Jun telah menggugurkan tuntutan guaman yang mendakwa pembuat ChatGPT, OpenAI dan CEO syarikat tersebut, Encik Sam Altman, mengabaikan misi asal syarikat pemula untuk membangunkan AI untuk faedah manusia dan bukan untuk keuntungan.

Peguam Encik Musk meminta mahkamah negeri California supaya menarik balik tuntutan mahkamah, yang pada asalnya difailkan pada Februari, tanpa memberi alasan bagi tindakan tersebut, berdasarkan fail di Mahkamah Tinggi San Francisco.

Hakim Mahkamah Tinggi di sana bersedia mendengar tawaran OpenAI menarik balik tuntutan mahkamah pada sidang yang dijadualkan pada 12 Jun.

OpenAI dan peguam bagi Encik Musk tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.

Encik Musk menarik balik kesnya tanpa prejudis, yang bermakna beliau boleh memfailkannya semula pada masa lain.

Tuntutan itu menandakan kemuncak penentangan lama Encik Musk terhadap OpenAI, syarikat pemula yang diasaskannya bersama, dan sejak itu syarikat tersebut telah berkembang menjadi wajah AI generatif ekoran pembiayaan berbilion dolar daripada Microsoft. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg