SAN FRANCISCO: Syarikat teknologi, Apple, pada 14 Ogos menafikan dakwaan usahawan terkemuka, Encik Elon Musk, bahawa kedai digital App Store memihak kepada wadah ChatGPT milik syarikat OpenAI, berbanding Grok milik syarikatnya dan pembantu kecerdasan buatan (AI) milik pesaing lain.
Encik Musk menuduh Apple memberikan keutamaan secara tidak adil kepada ChatGPT di App Store dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.
Tuduhan tersebut mencetuskan pertikaman lidah antara beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Encik Sam Altman, minggu ini.
“App Store direka untuk bersikap adil dan bebas daripada tindakan berat sebelah.
“Kami mengetengahkan ribuan aplikasi melalui carta, cadangan algoritma dan senarai cadangan yang dipilih oleh pakar menggunakan kriteria objektif,” ujar Apple menjawab pertanyaan media.
Apple menambah matlamatnya di App Store adalah untuk menawarkan “penemuan selamat” kepada pengguna, di samping memberi peluang kepada pembangun aplikasi untuk menampilkan hasil ciptaan mereka.
Namun, pada awal minggu ini, Encik Musk berkata:
“Apple bertindak dengan cara yang menjadikan mustahil bagi mana-mana syarikat AI selain OpenAI untuk mencapai kedudukan nombor satu di App Store.
“Ini jelas merupakan pelanggaran undang-undang antipakatan (yang bertujuan mencegah monopoli dan memastikan persaingan sihat).”
Bagaimanapun, Encik Musk tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya, lapor The Straits Times (ST).
“xAI akan mengambil tindakan undang-undang dengan segera,” katanya di rangkaian media sosial X, merujuk kepada syarikat kecerdasan buatan (AI) milik beliau yang membangunkan Grok.
Pengguna X turut memberi tindak balas dengan menyatakan bahawa DeepSeek AI –sebuah wadah AI dari China – pernah menduduki tempat teratas di App Store pada awal 2025.
Selain itu, satu lagi wadah AI, Perplexity AI, baru-baru ini berada di kedudukan nombor satu di App Store di India, kata mereka.
DeepSeek dan Perplexity bersaing dengan OpenAI dan syarikat pemula xAI milik Encik Musk.
Encik Altman menyifatkan dakwaan Encik Musk sebagai “menghairankan” dalam responsnya di X, sambil menuduh Encik Musk sendiri dikatakan “memanipulasi X untuk menguntungkan dirinya dan syarikatnya, serta merugikan pesaingnya dan individu yang tidak disukainya.”
Encik Musk kemudian membalas dengan menggelar Encik Altman sebagai “penipu” dalam perbalahan hangat tersebut.
OpenAI dan xAI baru-baru ini melancarkan versi baru ChatGPT dan Grok. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg