Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program AI mahir ‘Singlish’ boleh pantau warga emas, cegah panggilan tipu

‘Meralion’ sebahagian inisiatif bernilai $70j turut faham lapan bahasa serantau lain
May 28, 2025 | 8:52 PM
AI, Singapura, penjagaan warga emas, antipenipuan
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo. - Foto ZAOBAO

Ejen kecerdasan buatan (AI) yang dilatih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, bahasa ibunda tempatan dan juga bahasa Inggeris berbaur Singapura, Singlish, mungkin akan dikerah tidak lama lagi untuk menghubungi pesakit warga emas untuk mengetahui keadaan mereka atau di pusat antipenipuan untuk memintas panggilan berunsur penipuan.

“Saya diberitahu bahawa (chatbot ini) juga boleh mengesan isyarat bukan lisan seperti kekuatan suara, emosi dan nada percakapan,” kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, semasa mengumumkan kemas kini terbaru kepada model AI tersebut di persidangan, Asia Tech x Singapore, yang diadakan di Capella Singapore pada 28 Mei.

Dikenali sebagai Meralion (singkatan bagi Multimodal Empathetic Reasoning and Learning in One Network), model AI itu mampu memahami sekurang-kurangnya lapan bahasa serantau seperti Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Melayu, Thai dan Singlish – versi unik bahasa Inggeris di Singapura yang menggabungkan pelbagai bahasa serantau.

Dibangunkan oleh Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) bagi Penyelidikan Infokom, Meralion boleh dimuat turun secara percuma oleh orang ramai dan diubah suai mengikut kegunaan masing-masing.

Menurut akhbar The Straits Times (ST), perbincangan juga sedang dijalankan dengan sebuah agensi perkhidmatan sosial untuk menggunakan chatbot tersebut.

Misalnya, Meralion boleh membantu pekerja sosial menghubungi warga emas untuk mengingatkan mereka supaya mengambil ubat.

Program AI itu, yang berfungsi secara autonomi, juga boleh memantau kesejahteraan warga emas dengan menganalisis nada suara dan percakapan mereka bagi mengesan tanda kesedihan atau kemarahan yang mungkin memerlukan perhatian lanjut daripada kakitangan manusia.

AI tersebut akan menjana ringkasan panggilan yang memperincikan keperluan dan keadaan warga emas tersebut.

Pembangunan Meralion adalah sebahagian inisiatif bernilai $70 juta yang dibiayai oleh Yayasan Penyelidikan Nasional dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), yang bertujuan membina model bahasa besar yang disesuaikan untuk rantau ini.

Dana tersebut juga menyokong model Sea-Lion (South-east Asian Languages in One Network) oleh AI Singapura, yang dilatih menggunakan sekurang-kurangnya 11 bahasa utama yang digunakan di rantau ini.

Meralion mengisi jurang bagi model bahasa yang selaras dengan konteks tempatan memandangkan kebanyakan sistem AI semasa dilatih terutama menggunakan data Barat, kata pengarah perniagaan dan ekosistem di Kumpulan BizTech IMDA, Dr Lawrence Wee.

Akibatnya, chatbot seperti ChatGPT dan Google Gemini yang menguasai bidang AI yang berkembang pesat mungkin sering menghadapi kesukaran dengan dialek tempatan, gaya komunikasi dan nuansa bahasa, menjadikan penggunaan mereka di sini memerlukan latihan semula yang meluas dengan menggunakan data serantau.

Meralion, yang dilatih menggunakan korpus ucapan nasional, memahami apabila pelbagai bahasa dituturkan dalam sepotong ayat yang sama, mencerminkan cara komunikasi semula jadi rakyat di rantau ini.

Menurut IMDA dan A*Star, ia juga dapat mengesan nada emosi untuk membolehkan interaksi yang lebih empati dengan chatbot tersebut.

Kededua pihak menambah bahawa Meralion sedang dilatih untuk memahami dialek Cina dalam kemas kini akan datang.

Cik Teo, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Negara Bijak dan Keselamatan Siber, berkongsi bahawa Meralion boleh memenuhi keperluan lebih 450 juta orang di rantau ini yang menggunakan bahasa-bahasa tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg