Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS mula kuat kuasa tarif lebih tinggi ke atas berpuluh negara

Aug 7, 2025 | 5:39 PM
Amerika Syarikat, tarif, import
Tarif yang lebih tinggi tidak dikenakan terhadap import khusus oleh sektor yang disasarkan secara berasingan, seperti keluli, kereta, farmaseutikal dan cip semikonduktor. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Tarif Amerika Syarikat yang lebih tinggi dilaksanakan terhadap berpuluh-puluh negara pada 7 Ogos, secara drastik meningkatkan kepentingan usaha Presiden Donald Trump untuk membentuk semula perdagangan sejagat.

Apabila perintah eksekutif yang ditandatangani pada akhir Julai oleh Encik Trump dikuatkuasakan, tarif Amerika meningkat daripada 10 peratus kepada paras antara 15 peratus dengan 41 peratus untuk rakan-rakan dagangannya.

Banyak produk dari negara seperti Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Korea Selatan kini berdepan tarif 15 peratus, di sebalik perjanjian yang dicapai dengan Washington untuk mengelak tarif lebih tinggi.

Tetapi negara seperti India dikenakan tarif 25 peratus, meningkat seganda dalam tempoh tiga minggu, manakala Syria, Myanmar dan Laos berdepan kadar mengejutkan sama ada 40 peratus atau 41 peratus.

Gelombang tarif ‘timbal balas’ terbaru itu bertujuan menangani amalan perdagangan yang Washington anggap tidak adil, meluaskan langkah yang telah Encik Trump kenakan sejak kembali memegang jawatan presiden.

Namun, tarif lebih tinggi itu tidak dikenakan ke atas import khusus sektor yang disasarkan secara berasingan, seperti keluli, kereta, farmaseutikal dan cip semikunduktor.

Encik Trump berkata pada 6 Ogos bahawa beliau merancang tarif 100 peratus ke atas semikonduktor, walaupun Taipei berkata gergasi pengeluar cip TSMC akan dikecualikan kerana ia mempunyai kilang di Amerika.

Susulan tarif baru itu, syarikat dan kumpulan industri memberi amaran bahawa ia akan menjejas perniagaan Amerika yang lebih kecil.

Pakar ekonomi mengingatkan bahawa tarif baru itu boleh mencetuskan inflasi dan membebankan pertumbuhan dalam jangka panjang.

Walaupun sesetengah pakar berpendapat kesan ke atas harga adalah sekali sahaja, yang lain percaya impaknya pasti jelas terpapar.

Profesor Marc Busch dari Universiti Georgetown menjangkakan sektor perniagaan Amerika akan menaikkan harga, sekali gus menjejas pengguna.

Penggantungan 90 hari bagi melaksanakan tarif timbal balas yang lebih tinggi telah memberi masa kepada pengimport menyimpan bekalan, katanya.

Tarif baru yang berkuat kuasa pada 7 Ogos turut meninggalkan persoalan dalam kalangan rakan kongsi Amerika yang telah merundingkan perjanjian dengan Encik Trump baru-baru ini.

Tokyo dan Washington, sebagai contoh, kelihatan berselisih mengenai butiran penting pakatan tarif mereka, seperti tarif lebih rendah ke atas kereta Jepun akan dilaksanakan.

Washington masih belum memberikan tarikh pengurangan tarif ke atas kereta dikuatkuasakan untuk Jepun, EU dan Korea Selatan. – AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg