WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan pelaksanaan tarif baru secara besar-besaran ke atas eksport dari lebih 60 negara pada 31 Julai.
Ia sekali gus menandakan fasa baru dasar perdagangan luar yang lebih tegas dan bersifat unilateralisme. Langkah itu, ujar Rumah Putih, akan berkuat kuasa bermula jam 12:01 pagi, 7 Ogos 2025.
Encik Trump menandatangani dua perintah eksekutif: satu melibatkan pengenaan “tarif timbal balik” antara 10 hingga 41 peratus ke atas negara-negara yang dilihat tidak memberikan layanan adil kepada Amerika.
Satu lagi yang khusus meningkatkan tarif terhadap Canada sehingga 35 peratus, atas dakwaan kegagalan negara itu membendung aliran fentanyl dan dadah terlarang ke Amerika.
“Saya telah memutuskan bahawa adalah wajar untuk menangani darurat nasional yang diisytiharkan melalui Perintah Eksekutif 14257 dengan mengenakan duti tambahan ke atas barangan dari rakan dagang tertentu,” kata Encik Trump dalam kenyataan di laman web Rumah Putih.
Menurut dokumen rasmi bertajuk, ‘Pelarasan Lanjutan terhadap Kadar Tarif Timbal Balas’, eksport dari negara-negara seperti Australia dan United Kingdom akan dikenakan tarif asas sebanyak 10 peratus.
India dikenakan 25 peratus manakala Taiwan dikenakan 20 peratus, mencerminkan kemajuan perlahan dalam rundingan perdagangan dua hala.
Tarif tertinggi dikenakan ke atas negara seperti Brazil (50 peratus), Syria, Laos dan Myanmar (40-41 peratus), dengan pengamat bimbang kadar setinggi itu akan melumpuhkan eksport mereka dan membebankan pengguna Amerika.
Bagi Myanmar dan Laos, eksport utama ke Amerika Syarikat adalah pakaian dan peralatan elektronik.
Laporan Reuters menyebut bahawa lonjakan import dari Laos pada 2024 lalu mungkin berpunca daripada pemindahan kilang panel solar oleh China ke negara itu untuk mengelak tarif tinggi.
Perintah tersebut menyatakan bahawa barangan dari semua negara yang tidak disenaraikan dalam lampiran akan dikenakan kadar tarif sebanyak 10 peratus oleh Amerika Syarikat.
Barangan eksport dari Singapura ke Amerika dijangka kekal dikenakan tarif pada kadar 10 peratus.
Sementara itu, Malaysia kini berdepan kadar tarif baru 19 peratus ke atas barangan eksportnya ke Amerika Syarikat, menurun daripada kadar sebelumnya iaitu 25 peratus.
“Berbanding dengan era sebelum Trump, keadaan kini jauh lebih membebankan,” kata Encik Kyong Hyun Koo, pakar ekonomi perdagangan dari Institut Dasar Ekonomi Antarabangsa Korea.
“Namun ada sedikit kelegaan apabila Korea Selatan dikenakan tarif yang sama seperti Jepun dan Kesatuan Eropah iaitu 15 peratus.”
Beberapa negara seperti Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Filipina, dan negara-negara Kesatuan Eropah dikenakan tarif antara 10 hingga 20 peratus selepas mencapai rundingan awal yang melibatkan janji pembelian tenaga Amerika, pelaburan dalam kilang Amerika, dan penurunan halangan perdagangan terhadap barangan pertanian serta perindustrian.
“Sebahagian negara telah membuat komitmen pelaburan dan pembukaan pasaran kepada Amerika, walaupun syaratnya masih belum jelas,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt.
“Presiden Trump merasakan langkah menaikkan tarif terhadap Canada kepada 35 peratus adalah perlu untuk menangani darurat kesihatan awam akibat fentanyl,” menurut kenyataan Rumah Putih.
Namun begitu, semua barangan yang dilindungi di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara baru - Perjanjian Amerika Syarikat–Mexico–Kanada (USMCA) dikecualikan daripada tarif baru ini.
Encik Trump sebelum ini mengisytiharkan darurat nasional pada Januari 2025 di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), dengan menyatakan krisis kesihatan awam akibat fentanyl sebagai asas tindakan.
Pegawai kanan Amerika turut mengadakan pertemuan dengan wakil China di Stockholm bagi membincangkan lanjutan tempoh gencatan perdagangan yang bakal tamat 12 Ogos. China mendakwa mereka telah mendapat lanjutan 90 hari, manakala Setiausaha Perbendaharaan Amerika Encik Scott Bessent, berkata lanjutan itu “mungkin” berlaku.
“Masih ada beberapa perkara teknikal yang perlu dirundingkan dengan China,” ujar Encik Bessent kepada CNBC. “Saya yakin ia akan selesai, tapi belum 100 peratus.”
Selain itu, pentadbiran Trump juga merancang melaksanakan peraturan baru mengenai asal-usul barangan transshipment, iaitu barangan yang dipindahkan antara kapal di destinasi pertengahan sebelum tiba ke Amerika. Peraturan ini dijangka menjejaskan barangan dari negara seperti Laos yang dipercayai digunakan oleh China sebagai laluan alternatif.
Walaupun tarif ini sah dari segi undang-undang, ramai pemerhati ekonomi menjangka ia akan menimbulkan ketegangan global baharu dan berpotensi memicu tindakan balas daripada negara-negara terjejas.
“Langkah ini akan memberi tekanan hebat kepada perdagangan global dan mungkin menjejaskan pengguna Amerika dalam bentuk harga barangan yang lebih tinggi,” kata seorang penganalisis di Institut Dasar Ekonomi Washington.
Sebahagian besar tarif akan bermula pada 7 Ogos, kecuali Canada yang akan mula merasai kesan pada 1 Ogos. Negara-negara terjejas kini menunggu perkembangan lanjut sama ada mereka akan tunduk kepada tekanan Amerika atau membalas dengan dasar perdagangan mereka sendiri. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg